PELARI jarak jauh negara, Kristian Tung mencipta sensasi apabila berjaya memadam rekod tertua olahraga Malaysia yang sudah berusia 40 tahun pada Kejohanan BMC Record Breaker di Tooting British Milers Club, London awal pagi semalam.
Atlet berusia 21 tahun itu merekodkan catatan lapan minit 15.70 saat (s) dalam acara 3,000 meter (m), sekali gus meleburkan rekod lama kebangsaaan 8:27.00s milik Sivalingam Muthiah yang dilakukan di London pada 18 Jun 1985.
Bagi Kristian, kejayaan itu bukan sekadar rekod peribadi, sebaliknya tanda kebangkitan generasi baharu yang mahu mengangkat kembali maruah sukan jarak jauh tanah air.
“Saya rasa sangat gembira. Semua orang selalu bercakap tentang era kegemilangan larian jarak jauh Malaysia dan nama-nama besar dalam sejarah sukan negara, jadi bagi saya ia satu penghormatan dapat pecahkan rekod.
“Harapan saya, inilah permulaan era kegemilangan baharu olahraga Malaysia,” katanya selepas dihubungi Kosmo! semalam.
Kristian yang turut merekodkan catatan 14:15.85s dalam acara 5,000m kini mahu menguji kemampuan dalam acara 10,000m bulan depan dengan misi menembusi tembok 30 minit.
“Saya akan berlari 10,000 meter pada awal September dan harap dapat catat masa bawah 30 minit,” jelasnya.
Tidak mahu leka dengan pencapaian semasa, Kristian turut menegaskan fokus utamanya adalah terus memecahkan lebih banyak rekod kebangsaan termasuk acara jalan raya.
“Saya tahu memecahkan rekod kebangsaan sangat penting. Saya juga akan cuba pecahkan rekod kebangsaan 10 kilometer (km) jalan raya pada September nanti,” ujarnya.
Kristian pernah mencuri tumpuan di pentas Sukan Malaysia (Sukma) apabila meraih tiga pingat emas untuk Wilayah Persekutuan dalam acara 1,500m, 5,000m dan 10,000m pada 2024.
Ketika itu, pelari muda tersebut sudah menyuarakan hasrat untuk menurunkan catatan rekod kebangsaan milik legenda jarak jauh negara, M. Ramachandran selain menjadikan kejohanan antarabangsa sebagai medan memburu impian lebih besar. – KOSMO! ONLINE