SUBANG JAYA – Kejadian kemalangan berhampiran SS17, di sini pada 13 Ogos lalu membongkar kegiatan pengedaran dadah selepas polis menemukan syabu bernilai RM7 juta dalam kereta yang ditinggalkan di tepi jalan.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, kereta Honda Civic terbabit terbabas sebelum orang awam menghubungi polis bagi memaklumkan mengenai kemalangan tersebut.
“Namun, pemeriksaan mendapati tiada pemandu atau penumpang di dalam dan sekitar kereta tersebut.
“Pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 11 guni berisi 208 bungkus plastik disyaki syabu seberat 220.16 kilogram (kg) yang boleh dibekalkan kepada lebih 200,000 penagih,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan terhadap kereta itu turut menjumpai kad pengenalan milik lelaki tempatan berusia 32 tahun yang dipercayai dapat membantu siasatan kes tersebut.
“Kereta itu didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu. Semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah dan sembilan kes dadah,” ujarnya.
Wan Azlan meninta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Saifullah Rosdi di talian 017-9065674 atau balai polis berdekatan. – KOSMO! ONLINE