fbpx
IDAH (kanan) ketika ditemu bual wartawan Kosmo! di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih baru-baru ini. - MUHAMAD IQBAL ROSLI

‘Sihat orang sayang, bila sakit semua lari’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEMENYIH – “Sudah tiga tahun mak cik duduk sini, tiada seorang anak datang jenguk.”

Demikian luahan penghuni Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia yang dikenali sebagai Idah, 69, selepas kedua-dua anaknya tidak lagi mahu menjaganya.

Faridah dimasukkan ke pusat jagaan itu selepas dirujuk oleh pihak hospital pada 2022 kerana kerap jatuh sakit.

“Saya sendiri yang minta hospital hantar ke rumah orang tua. Dah sakit, tiada siapa yang peduli. Duduk rumah bila sakit, mereka tak nak jaga. Bila keluar surat khabar, baru nak marah,” katanya.

Cerita Idah yang berasal dari Kelantan, dia pernah berkhidmat sebagai guru tadika selama 35 tahun sebelum bersara pada usia 55 tahun untuk menjaga suaminya yang terlantar sakit.

“Suami saya meninggal dunia pada tahun 2019 akibat strok. Sejak itu, anak-anak yang dahulunya rapat mula menjauh. Tiada lagi panggilan telefon dan ziarah. Rasa sunyi,” katanya.

Menurutnya, seorang anaknya tinggal tidak jauh dari rumahnya bahkan pernah berkongsi blok yang sama ketika menetap di Kuala Lumpur.

“Tapi, sejak bapa mereka me­ninggal dunia, semuanya berubah. Kami tidak pernah bergaduh dengan anak-anak. Selepas mak cik sakit, semua ‘lari’,” luah wanita itu.

KETIKA ini terdapat kira-kira 52 penghuni termasuk warga emas yang tinggal di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia di Semenyih. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

Walaupun kelihatan lemah, Idah masih mampu menguruskan diri dan mengikuti pelbagai aktiviti di pusat jagaan tersebut.

Wanita itu bersyukur kerana berpeluang menunaikan umrah baru-baru ini hasil tajaan pihak yang prihatin.

“Alhamdulillah, di sini saya lebih tenang. Mereka jaga saya seperti keluarga sendiri. Tak pernah rasa terpinggir,” katanya.

Seorang lagi penghuni, Man, 69, berkata, dia menjadikan Pusat Jagaan Mahmudah sebagai rumahnya selepas tiada lagi tempat untuk dituju.

Yusuf yang berasal dari Yan, Kedah dirujuk oleh Hospital Balik Pulau, Pulau Pinang selepas ditahan wad selama empat bulan tanpa dituntut oleh waris.

Dia yang sebelum ini mencari rezeki dengan menjual ais krim di Balik Pulau berkata, isterinya telah lama meninggal dunia dan mempunyai seorang anak lelaki. Bagaimanapun, mereka tidak lagi berhubung sejak dia jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital.

“Saya tak tahu anak kini berada di mana, semasa di hospital dia tidak ada datang menjenguk dan mengambil saya sehingga akhirnya pihak hospital rujuk saya ke sini kerana tiada waris datang untuk bawa saya balik,” katanya.

Yusuf kini hanya terlantar di rumah jagaan tersebut selepas mengalami radang sendi lutut atau osteoartritis lutut dan patah tengkuk tulang paha. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN