PETALING JAYA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menyelar DAP kerana mengkritik tindakan Majlis Perbandaran Pontian (MPPN) dalam isu mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.
Menurut beliau, pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak perlu takut dan mendengar cakap DAP dalam isu tersebut kerana Pemuda UMNO menyokong tindakan itu.
“The real hipokrit (hipokrit sebenar). Sepatutnya bukan sahaja hukuman ditutup kedai, tetapi hukuman yang jauh lebih berat kepada orang yang tidak menghormati Jalur Gemilang.
“Tapi apakan daya, yang menegur cepat didakwa, tetapi yang kibarkan Jalur Gemilang secara terbalik goyang kaki di rumah. Siapa kamu (DAP) nak mengarahkan PBT?,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Pemuda DAP mengkritik MPPN kerana mengarahkan sebuah klinik pergigian ditutup selama 30 hari selepas mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.
Pemuda DAP menggesa kerajaan Johor mengarahkan MPPN menarik balik arahan tersebut dengan menyifatkan ia sebagai keterlaluan dan tidak setimpal dengan kesalahan.
Dalam hantaran berasingan, Dr. Muhamad Akmal menegaskan, lebih kuat pihaknya ditekan dalam isu Jalur Gemilang, lebih kuat Pemuda UMNO akan melawan.
Tegas beliau, isu Jalur Gemilang adalah soal maruah negara yang perlu dipertahankan dan tiada pihak dapat menakutkan Pemuda UMNO dalam hal berkenaan.
“Jika kamu cuba untuk takutkan kami dan senyapkan suara kami dengan dakwaan ini, maka jawapan saya kamu silap,” katanya. – KOSMO! ONLINE