PUTRAJAYA – Satu sesi pemukiman melibatkan beberapa kementerian dan agensi berkaitan akan diadakan dalam masa terdekat bagi menyelaras prosedur operasi standard (SOP) agar insiden buli dapat ditangani secara menyeluruh.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia melibatkan Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pertahanan, Majlis Amanah Rakyat, Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Bermula Julai, pindaan kepada Seksyen 507 (diperkenalkan). Ini bermaksud ada definisi apa itu buli dan menjadikan buli itu satu jenayah, jadi SOP dan beberapa perkara perlu difahami oleh semua institusi.
“Akan diadakan satu pemukiman melibatkan kementerian yang saya nyatakan tadi untuk menyelaras aspek SOP supaya kejadian buli dapat ditangani secara menyeluruh, mungkin di satu institusi (pendidikan) caranya seperti ini, institusi lain caranya berbeza.
“Tetapi aspek pendakwaan dan keselamatan akan melibatkan banyak pihak, jadi (akan dibincangkan dalam) pemukiman dalam masa terdekat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Pada 11 Ogos lalu, media melaporkan kerajaan memperkenalkan peruntukan baharu dalam Kanun Keseksaan bagi menangani kes buli, gangguan, penghinaan dan penyalahgunaan maklumat identiti, termasuk secara dalam talian.
Mengulas mengenai cadangan penubuhan tribunal berhubung buli membabitkan pelajar dan kanak-kanak, Fahmi berkata, perkara itu akan dibentangkan semula kepada Jemaah Menteri selepas dokumen berkaitan disediakan. – KOSMO! ONLINE