“SAYA betul-betul menyesal kenal dan berkahwin dengan dia.
“Sebab dia jugalah hubungan saya dengan adik-beradik berpecah belah dan tidak bertegur sapa sampai ke saat ini.”
Itulah kekesalan bersulam kekecewaan yang pernah dilalui oleh Put (bukan nama sebenar) setelah rumah tangga yang dibina lebih lima tahun bersama wanita disayangi berakhir.
Membuka kisah, Put memberitahu, dia mula mengenali bekas isterinya ketika sama-sama menghadiri sebuah seminar pemasaran di ibu kota.
Meskipun perkenalan hanya sekejap, namun bibit percintaan tetap berputik, sebelum berakhir dengan perkahwinan.
“Saya jatuh hati dengan isteri kerana kebaikan dan hati budinya.
“Dia ada segala ciri-ciri wanita yang saya mahu dan idamkan. Jadi, tidak tunggu lama, kami ambil keputusan untuk bersama secara sah,” katanya.
Tiga tahun hidup bersama, pelbagai onak duri dilalui oleh Put bersama isteri dan seorang cahaya mata mereka.
Namun, segala-galanya berubah kerana sikap dan perlakuan isterinya yang tidak pernah diketahuinya sebelum ini.
Menurut eksekutif pemasaran di syarikat berkaitan kerajaan itu, pada awalnya, dia tidak percaya perkara buruk yang didengari mengenai isterinya.
Pun begitu, setelah mengalami dan melaluinya sendiri, barulah dia percaya serta tidak lagi mempersoalkannya.
“Saya dan isteri tinggal di ibu kota. Kami akan pulang ke kampung jika ada masa lapang atau pada hari raya.
“Setiap kali balik ke kampung saya, pasti ada berlaku kehilangan wang serta barang-barang berharga milik keluarga.
“Biasanya, kes kecurian ini berlaku ketika hari perayaan dan majlis keramaian.
“Ibu saya pernah hilang duit sebanyak RM500 di dalam dompet yang diletak di dalam biliknya.
“Tidak setakat itu, ayah saya juga pernah kehilangan jam tangan pintar berjenama terkenal yang dihadiahkan oleh saya ketika ulang tahunnya ke-60 sebelum ini.
“Lebih memeranjatkan, adik bongsu saya yang masih menuntut di universiti juga pernah mengadu kehilangan wang sakunya yang dikumpul hasil kerja part time sebanyak RM1,500,” katanya.
Akui Put, ketika semua perkara tersebut berlaku, isterinya seakan-akan menjadi ‘wira’ dan sering memainkan peranan untuk mencari serta menyelesaikan setiap kes tersebut.
Tambah duda berusia 35 tahun itu, dia juga pernah beberapa kali kehilangan duit dan barang peribadi seperti jam tangan serta kaca mata mewah.
Namun begitu, dia langsung tidak mengesyaki bahawa perkara itu adalah hasil perbuatan isterinya kerana wanita tersebut bukanlah seorang yang panjang tangan.
Bagaimanapun, segala kerja jahat isterinya terbongkar selepas ditangkap oleh salah seorang adik Put ketika menjelang hari raya.
“Ketika itu, isteri sedang menggeledah almari di bilik ibu bapa saya. Di dalam bilik itu, ibu menyimpan semua barang kemasnya termasuk wang tunai mencecah ribuan ringgit untuk digunakan ketika kecemasan.
“Ketika isteri sedang asyik melakukan ‘projek’, semua ahli keluarga sibuk membuat persiapan memasak juadah raya di dapur.
“Isteri tidak perasan yang pintu bilik itu tidak ditutup rapat. Kebetulan adik lelaki saya ternampak isteri saya masuk diam-diam.
“Sejak itu, semua kerja jahat isteri terbongkar. Dalam poket seluar yang dipakainya ada barangan kemas milik ibu dan sejumlah wang tunai, selain jam tangan milik ayah saya.
“Ibu mengamuk dan halau kami anak-beranak.
“Bayangkan pada malam raya, kami dihalau sebab perbuatan isteri.
“Isteri ada minta maaf dan mengaku perbuatan kejinya itu kepada ibu dan ayah saya.
“Namun, keluarga saya tetap tidak memaafkannya, malah kami dihalau.
“Disebabkan terlalu beremosi dengan apa berlaku dan saya turut dituduh bersekongkol, saya terus melafazkan talak kepada isteri pada malam itu juga.
“Saya kecewa kerana tidak sangka hidup dengan isteri kaki mencuri selama ini, biarpun di depan saya dia seorang wanita yang sangat baik,” katanya dalam nada kesal.
















