KETUA jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi bangga dengan prestasi pasukan yang mampu bersaing hebat dengan kelab berpengaruh Thailand, Buriram United selepas seri 1-1 pada aksi pertama Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) kelmarin.
Menurut Kinoshi, bukan mudah untuk barisan pemain mencuri satu mata berharga selepas beraksi hampir 120 minit termasuk masa kecederaan yang diberikan oleh pengadil perlawanan.
“Saya sangat berbangga dengan apa yang pasukan pamerkan terutama pada aksi babak pertama. Namun, kita perlu bekerja lebih keras jika mahu meraih keputusan positif bertemu Buriram di laman sendiri nanti.
“Pada kali ini, kita telah diuji selama 120 minit di atas padang dan kita berjaya mendahului 1-0 sebelum dibolosi pada minit-minit akhir.
“Saya anggap ini adalah keputusan yang positif kerana kualiti lawan yang sangat tersusun dan memiliki ramai pemain hebat. Saya sangat bangga dengan pemain kerana ramai menganggap kita tidak cukup bagus untuk bertemu Buriram,” katanya.
Pada perlawanan pertama Kumpulan A itu, skuad Gergasi Merah berjaya mendahului hasil penyudah Chrigor Moraes sebelum tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan menerusi ledakan Petr Zulj.
Pengendali dari Jepun itu mahu pemain import dari Thailand, Picha Autra bersabar menanti peluang selepas disisihkan pada aksi di Stadium Thunder Castle itu atas faktor taktikal.
“Saya bercakap dengan Autra bahawa dia pemain yang bagus dan sangat unik. Malangnya, pada masa ini saya memutuskan untuk mengeluarkannya daripada skuad kerana sesuatu berkaitan taktikal.
“Pada masa akan datang sudah pasti dia akan menjadi sebahagian daripada kesebelasan utama kami kerana saya perlukan dia untuk bersama pasukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE