PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat bersama jemaah di Masjid Putra, di sini.
Beliau yang tiba kira-kira pukul 1.15 tengah hari disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.
Anwar bersama jemaah kemudian turut mendengar khutbah Jumaat bertajuk ‘Bangkit Membela Teguh Bersaudara’ disampaikan oleh Imam Besar Masjid Putra, Dr. Muhammad Zakuwa Rodzali.
Solat Jumaat kemudian diimamkan oleh Ustaz Muhamad Nabil yang disertai lebih 4,000 jemaah.
Isi kuthbah antara lain memaklumkan, rakyat Palestin kini terus dibantai rejim Zionis Israel dengan sokongan kuasa besar yang mengakibatkan
ribuan nyawa terkorban, puluhan ribu cedera, manakala rumah dan masjid musnah.
Menurutnya, membantu Palestin adalah tuntutan iman, sama ada melalui harta, doa, diplomasi atau apa sahaja bentuk usaha yang mampu menghentikan kezaliman.
“Buli ialah kezaliman yang merosakkan maruah dan nyawa, wajib dibanteras oleh semua pihak, bermula dengan didikan diri agar tidak menyakiti orang lain,” katanya.
Selesai solat, Anwar turut meluangkan masa beramah mesra dan bergambar bersama jemaah yang hadir sebelum beredar meninggalkan masjid.
Selain itu, Anwar turut menyantuni peserta program Cendekiawan Malaysia- Indonesia (Malindo MADANI) anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) selain menerima deklarasi Kuala Lumpur Malindo MADANI. – KOSMO! ONLINE