KUANTAN – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menubuhkan Lembaga Siasatan bagi menyiasat punca kemalangan melibatkan pesawat pejuang F/A-18D Hornet yang terbakar dan terhempas ketika berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah di sini semalam.
Panglima Tentera Udara, Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, siasatan akan dilaksanakan secara menyeluruh mengikut prosedur keselamatan operasi penerbangan TUDM.
“Saya juga telah melihat sendiri di kawasan lapangan tadi dan saya boleh mengatakan sini bahawa pesawat itu telah musnah sepenuhnya, ‘total lost’.
“Satu lembaga siasatan akan diadakan bagi mengenalpasti punca kemalangan yang telah berlaku,”katanya pada sidang akhbar di Pangkalan Udara Kuantan di sini hari ini.
Semalam, sebuah pesawat pejuang F/A-18D Hornet milik TUDM terbabit dalam kemalangan di landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.
Dua juruterbang terbabit disahkan selamat namun dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk pemeriksaan lanjut.
Pesawat F/A-18D Hornet daripada No 18 Skuadron berpangkalan di Pangkalan Udara Butterworth. Kini ditempatkan di Pangkalan Udara Kuantan sebagai detasmen sementara menunggu landasan Pangkalan Udara Butterworth dinaik taraf.
Menurutnya pasukan siasatan akan memulakan tugasnya hari ini dan akan memberikan laporan awal secepat mungkin bagi pihaknya mengenalpasti halatuju selanjutnya pengoperasian pesawar F/A-18D Hornet
Katanya, pihak TUDM akan terus memastikan setiap aspek keselamatan penerbangan diberi keutamaan dan mengambil langkah sewajarnya agar insiden seumpama ini dapat dielakkan pada masa akan datang.
Dalam pada itu mengulas mengenai keadaan F/A-18D Hornet terbabit, Norazlan berkata, pesawat tempur tersebut musnah secara keseluruhannya.
“Berdasarkan video, kita tidak boleh kata punca kemalangan disebabkan oleh bird striker atau Foreign Object Debris (FOD) seperti batu masuk ke dalam enjin pesawat ketika berlepas ataupun kegagalan enjin pesawat itu sendiri.
“Pesawat ini dilengkapi dengan sistem seperti kotak hitam dan data collector. Apabila kita dapatkan data collector itu, kita akan tengok apakah kemungkinan punca-punca kemalangan tersebut,”katanya.- KOSMO! ONLINE