SEBERANG PERAI – Kira-kira 200 penyokong Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkumpul di luar pekarangan Kompleks Mahkamah Bukit Mertajam di sini, hari ini bagi mengikuti perjalanan kes pendakwaannya di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Rata-rata mereka dilihat mula hadir seawal pukul 7.30 pagi tadi sambil memegang sepanduk bertulis ‘Solidariti Dr. Akmal Saleh’.
Antara yang hadir menyatakan sokongan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)
Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi Mohd Said; Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Mohd. Nazifuddin Mohammad Najib dan Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Mohd. Hilmi Elias.
Keadaan di lokasi setakat ini terkawal dengan kawalan ketat pasukan polis.
Dr. Akmal tiba di mahkamah dengan diiringi isteri bersama ahli keluarganya serta peguam kira-kira pukul 8.20 pagi tadi.
Pertuduhan terhadapnya bermula pada pukul 9 pagi tadi.
Terdahulu, media melaporkan Jabatan Peguam Negara (AGC) akan mendakwa empat individu termasuk Dr. Muhammad Akmal dan Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham.
Dua lagi individu akan turut didakwa ialah Chandrasegaran Subramaniam dan Siti Hajar Aflah Sharuddin.
Menurut AGC, Dr. Muhammad Akmal, Muhammad Hilman dan Siti Hajar akan didakwa di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan [Akta 574] manakala, Chandrasegaran didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588]
“Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh individu-individu tersebut didapati telah menggugat ketenteraman awam atau merupakan penggunaan yang tidak wajar terhadap kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” jelas AGC. – KOSMO! ONLINE