KUALA LUMPUR – Polis menahan enam individu termasuk seorang wanita disyaki mempunyai kaitan dengan siasatan skim penipuan pelaburan melibatkan MBI International Group (MBI) dalam Op Northern Star, baru-baru ini.
Mereka terdiri daripada tiga ahli perniagaan dengan seorang bergelar Datuk Seri dan dua Datuk, manakala dua lagi individu adalah penjaga kebun dan akauntan kebun durian.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, penahanan ke atas suspek itu dilakukan pada 26 Julai hingga 15 Ogos lalu di seluruh negara hasil maklumat terbaharu yang diperoleh pihaknya.
“Dua Datuk itu mempunyai perniagaan dalam bidang telekomunikasi dan pemaju perumahan. Ketiga-tiga ahli perniagaan ini mempunyai syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.
“Mereka berperanan sebagai proksi yang menerima wang daripada dalang pelaburan MBI (Tedy Teow) untuk tujuan (cuci duit),” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, di sini hari ini.
Mohd. Khalid berkata, kesemua suspek yang berusia 40 hingga 50-an itu direman antara empat hingga 12 hari bagi membantu siasatan.
Susulan tangkapan itu, Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman melakukan pembekuan di bawah Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613) dan penyitaan mengikut Seksyen 45(2) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613).
“Sebanyak 88 akaun bank berjumlah RM10.5 juta dan 398.8 juta unit saham bernilai Rm86.85 juta daripada dua syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dibekukan.
“Kita merampas wang tunai RM300,600, tujuh buah kenderaan mewah, lima utas jam tangan mewah, dua beg tangan berjenama, enam buah telefon bimbit dan dokumen berkaitan,” katanya.
Jelasnya, jumlah pembekuan dan sitaan terbaharu itu dianggarkan RM97.69 juta menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini sebanyak RM6.64 bilion.
Dalam pada itu, pasukan AMLA turut menyita sebuah syarikat pemaju hartanah di bawah Seksyen 52 (1) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613).
“Tindakan itu menjadikan sebanyak sembilan syarikat disita secara keseluruhan membabitkan lima perniagaan hartanah, dua perniagaan perladangan kelapa sawit, kelapa, albasia, getah dan durian serta dua perniagaan perhotelan.
“Ini termasuk kebun durian berkeluasan 7981.2 hektar masing-masing di Balik Pulau, Pulau Pinang (22 hektar), kulim, kedah (8.4 hektar) dan Gua Musang, Kelantan (7949.6 hektar),” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 17 individu ditahan dengan jumlah keseluruhan aset dibekukan serta disita RM3.81 bilion berkaitan kes penipuan pelaburan MBI.
Tangkapan melibatkan usahawan bergelar Tan Sri dan Datuk Seri dipercayai menjadi proksi serta rakan perniagaan dalam skim penipuan pelaburan itu yang ditahan di sekitar Lembah Klang dan utara. – KOSMO! ONLINE