MADRID – Beberapa buah pantai di Sepanyol ditutup kepada orang ramai selepas sejumlah hidupan laut berbahaya dengan rupa seakan-akan makhluk asing ditemukan di serata lokasi, lapor portal berita Mail Online semalam.
Penutupan itu dibuat di sepanjang Costa Blanca dengan bendera merah dinaikkan di beberapa pantai di Guardamar del Segura, utara Torrevieja.
Haiwan marin dikenali sebagai Blue Dragon atau nama saintifiknya, Glaucus atlanticus, biasanya terletak di laut dalam.
Ia juga digelar ‘pembunuh paling cantik di lautan’ kerana memiliki sengatan yang sangat berbisa dan mampu memakan ubur-ubur biru, Portuguese man o’ war.
Datuk Bandar Guardamar del Segura, Jose Luis Saez mengesahkan penutupan tersebut di platform X semalam.
“Pengunjung dilarang mandi berikutan kemunculan Glaucus atlanticus di Pantai Vivers. Walaupun warnanya cerah dan bersaiz kecil iaitu kira-kira 3.81 sentimeter, orang ramai perlu menjauhkan diri daripada hidupan ini.
“Dewan Perbandaran Guardamar del Segura melancarkan operasi pencegahan untuk mengesan makhluk yang dihanyutkan ke darat oleh arus laut,” tambah Saez. – AGENSI