KUALA LUMPUR – Penantian selama 25 tahun akhirnya berakhir apabila Malaysia diberi penghormatan menjadi tuan rumah selepas Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) memilih negara ini menganjurkan pusingan terakhir Piala Dunia Berbasikal Trek 2026.
Kejohanan berprestij dunia itu akan berlangsung pada 24 hingga 26 April 2026 di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan dan akan menghimpunkan pelumba terbaik dunia ke Malaysia.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill menyifatkan keputusan itu sebagai pengiktirafan besar terhadap kemampuan Malaysia selepas kali terakhir menjadi tuan rumah pada 2001 di Ipoh, Perak.
“Kami amat berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia khasnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atas sokongan padu yang diberikan serta kepada UCI atas keyakinan dan kepercayaan yang ditunjukkan kepada Malaysia.
“Kejohanan ini akan menjadi satu detik bersejarah untuk sukan berbasikal negara dan rantau Asia. Kejohanan ini akan menjadi landasan utama untuk pusingan kelayakan mata temasya Sukan Olimpik 2028 yang diadakan di Los Angeles (Amerika Syarikat). Ini faktor yang sangat penting,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) menegaskan pihaknya percaya semua pelumba utama dunia akan mengesahkan kehadiran termasuk penyertaan pelumba tersohor negara seperti Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom.
“Datuk Azizul masih dianggap satu nama besar dalam arena sukan trek dunia. Shah pula telah membuktikan kehebatannya apabila menang pingat emas di Turkiye baru baru ini dan saya
akan pastikan mereka menyertai Piala Dunia Trek di Malaysia,” tambahnya.
Dalam pada itu, Amarjit menegaskan penganjuran ini bakal melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai hab berbasikal Asia, selain menjadi hadiah bermakna menjelang sambutan Hari Kemerdekaan.
“Keputusan UCI ini sangat menggembirakan saya. Ianya umpama hadiah kepada semua pihak menjelang sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia,” ujarnya.