KAJANG – Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283) yang mula berkuat kuasa secara rasmi hari ini memberi perluasaan tanggungjawab dan penguatkuasaan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, banyak bidang tugas dan tanggungjawab AADK diperluas dibawah pindaan itu apabila tafsiran antara penagih dadah atau bahan dengan penyalah guna dadah atau bahan dibezakan.
“Sebelum dipinda, kuasa kita hanya ada pada penagih dadah dan dengan pindaan ini, kini kita ada (penguatkuasaan terhadap) penagih dah penyalah guna (dadah)
“Penagih bermaksud sudah bergantung kepada dadah, tidak ambil menggigil tidak boleh buat kerja. Salah guna (sebagai contoh) sekali-sekala melepak ambil sebiji (dadah) layan dengan kawan-kawan dan boleh bekerja seperti biasa.
“Mungkin sebulan sekali ambil dadah, tetapi itu pun (kini) salah dibawah akta yang bermakna mereka pun boleh ditahan di mana-mana pusat pemulihan kita,” katanya pada sidang media sempena Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat Bebas Dadah (KABD) di sini hari ini.
Rang Undang-undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 (nama asal sebelum diwartakan) diluluskan di Dewan Rakyat pada 18 Julai 2024 dan di Dewan Negara pada 1 Ogos 2024.
Ia bertujuan meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283) dengan membuat perbezaan tafsiran antara penagih dadah atau bahan dengan penyalah guna dadah atau bahan.
Pindaan itu turut meluaskan skop rawatan dan pemulihan kepada penagih dadah atau bahan atau penyalah guna dadah atau bahan. – KOSMO! ONLINE