KANGAR – Dua pasukan dari Sabah dan Terengganu mencipta rekod baharu dalam acara 4×100 meter (m) lelaki serta perempuan bawah 18 tahun (B-18) pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) ke-65 di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar hari ini.
Kuartet 4x100m lelaki Sabah menampilkan larian mantap memecahkan rekod lama milik Kedah apabila mencatatkan 40.89 saat (s), hanya 0.0s lebih pantas berbanding masa 40.92s sebelum ini.
Pasukan dibarisi Mohamad Zaidy Kadir, Airi Amani Kahar, Carlson Camilus dan Muhammad Muzaffar Shah Abdul menunjukkan keserasian luar biasa dalam hantaran baton hingga ke garisan penamat.
“Margin yang tipis tetap bermakna kerana kami buktikan rekod boleh dipecahkan bila ada keyakinan sesama rakan sepasukan,” kata Muzaffar.
Kuartet Terengganu pula mengungguli 4x100m perempuan B-18 dengan catatan 47.45s sekali gus memadam rekod lama 47.65 saat milik Johor.
Keadaan hujan dan trek basah langsung tidak menjejaskan kuarteta yang diwakili Nurin Aira Rusdi, Nur Aliya Najihah Muda, Nur Farisha Ardeana Ardy Abdullah dan Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira itu.
“Kami tak sangka dapat pecah rekod sebab larian agak perlahan di trek licin, tapi keyakinan antara satu sama lain buat kami kekal konsisten hingga penamat,” kata Izzatul Musfirah.
Jurulatih Terengganu, Khairul Azman Adnan berkata, persiapan pasukan dengan latihan intensif membuahkan hasil walaupun cuaca tidak menyebelahi mereka.
“Kalau trek kering, saya yakin catatan 46 saat boleh dicapai, tapi kita tetap bersyukur kerana rekod kejohanan berjaya dipecahkan,” ujarnya.
Kejayaan Sabah dan Terengganu menunjukkan pembangunan bakat muda olahraga negara semakin matang dan mampu bersaing di peringkat lebih tinggi pada masa depan. – KOSMO! ONLINE