KUALA LUMPUR – Jurulatih Kuala Lumpur City (KL City), Risto Vidakovic menganggap jadual padat saingan Liga Malaysia (Liga M) awal musim ini menjejaskan misi anak-anak buahnya mempamerkan aksi yang lebih konsisten.
Sebagai rekod, KL City memulakan saingan Liga Super dengan cemerlang apabila menewaskan Imigresen FC 3-0 sebelum kecewa diikat Sabah FC 1-1 hasil jaringan minit akhir pada aksi di laman sendiri.
Skuad Warga Kota terus hambar apabila dikejutkan Kelantan The Real Warrior (TRW) selepas tewas 1-3 pada aksi Piala FA minggu lepas.
Vidakovic berkata, buat masa ini barisan pemain perlu melupakan kekecewaan dan bangkit ke landasan sebenar pada aksi seterusnya bertemu Penang FC di Stadium Bandaraya, George Town malam ini.
“Agak malang apabila kami tidak mempunyai ruang membaiki kelemahan apabila jarak masa perlawanan terlalu rapat untuk pemain-pemain membuat pemulihan dan kembali bermain.
“Kami sepatutnya boleh bermain dengan lebih baik pada perlawanan lepas dan barisan pemain perlu banyak belajar untuk perbaiki kelemahan tersebut,” katanya.
KL City turut berdepan tamparan hebat apabila terpaksa melupakan khidmat perancang tengah, Manuel Hidalgo yang kembali ke pangkuan kelabnya, Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas hanya sempat beraksi dua perlawanan musim ini.
Ketiadaan Hidalgo memberi kesan kepada Vidakovic untuk mengatur strategi terbaik dalam misi mencabar kelompok atasan musim ini.
Tempoh pendaftaran pertama pemain Liga Malaysia (Liga M) 2025/2026 akan berakhir pada 30 Ogos ini yang menyaksikan pengurusan KL City kesuntukan masa untuk mencari pengganti Hidalgo. – KOSMO! ONLINE














