SETIAP anak seni pastinya tidak terlepas daripada berasa bimbang memikirkan masa depan dan karya lakonan mereka. Pasti ada sahaja kerisauan membelenggu setiap kali meluncurkan karya terbaharu untuk tontonan umum.
Pemilik nama penuh Azira Shafinaz Ramlan bagaimanapun enggan menjadikan kerisauan tersebut penghalang untuknya menterjemahkan setiap watak dengan baik.
Ahli kumpulan DeFam itu mengakui, kepuasan sebenar dalam lakonan muncul apabila penonton benar-benar merasai emosi watak lakonannya.
“Sebenarnya, saya sering berfikir terlalu banyak atau ‘overthinking’ tentang lakonan sendiri.
“Bukan kerana perlukan pujian atau pengiktirafan daripada orang lain.
“Saya bukan jenis yang mahu pujian daripada pengarah sebab paling penting, lakonan yang boleh buat orang yakin,” katanya kepada HibGlam.
Ujar wanita berusia 34 tahun itu, ‘overthinking’ boleh memberi hasil positif terhadap kerjaya seninya.
“Kadang-kadang ‘overthinking’ bagus sebab pelakon itu akan sedar ruang sekali gus membuatkan ingin terus memberi hasil terbaik.
“Saya selalu cakap pada diri sendiri, walaupun sudah lama berada dalam industri, saya masih rasa kecil kalau nak dibandingkan dengan pelakon lain.
“Ada banyak lagi perkara yang perlu saya belajar untuk terus kekal alam industri ini,” tuturnya usai tayangan perdana filem Indera baru-baru ini.
Indera
Berkongsi tentang Indera, Azira berkata wataknya tidak merujuk kepada mana-mana karakter dalam naskhah lain.
Bukan hendak mendabik dada, dia memberitahu karakter sebagai Anisa tidak mempunyai cabaran besar terhadapnya.
“Sebenarnya watak ini tidak ada cabaran besar sangat cuma perlu jadi seram, banyak bermain dengan intonasi dan memek muka sahaja.
“Kalau nak tanya rujukan, pun tiada sebab semuanya hasil terjemahan sendiri dan mengikut kehendak pengarah iaitu Woo Ming Jin.
“Namun saya syukur digandingkan dengan hero yang hebat iaitu Shaheizy Sam. Dia banyak membantu saya untuk memahami jalan cerita dan menghayati watak,” ujar Azira yang juga peminat naskhah genre seram itu.
Watak Anisa juga telah menjulang Azira sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik (APFF) ke-61 pada Disember tahun lalu.
Bersyukur dengan kemenangan tersebut, Azira masih tidak percaya berjaya mengungguli finalis lain.
“Apabila mendapat pengiktirafan, terutama di peringkat Asia Pasifik, rasa tidak percaya bahawa saya mampu sampai ke tahap itu.
“Sebabnya di Malaysia, saya tidak pernah menerima pengiktirafan sebegitu. Apabila orang luar nampak usaha kita, saya rasa segala kerja keras selama ini memang berbaloi.
“Apabila dapat pengiktirafan tersebut, saya tahu saya berada di landasan yang betul. Benarlah apa yang saya minati ini boleh membawa bakat pergi jauh. Alhamdulillah,” jelasnya.
Selain Azira dan Shaheizy, Indera yang mula ditayangkan di pawagam pada 7 Ogos lalu turut menampilkan pelakon hebat lain seperti Ruminah Sidek, Samara Kenzo dan Adlin Aman Ramli.