fbpx
AARON (kanan) dan Wooi Yik menjadi satu-satunya beregu lelaki negara pernah bergelar juara dunia. - ISKANDAR ISHAK

Herry, pemain kongsi misi juara dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEMAIN-PEMAIN badminton negara menggalas misi cukup besar menjelang Kejohanan Badminton Dunia 2025 yang akan berlangsung di Paris, Perancis bermula Isnin ini apabila meletakkan sasaran untuk merangkul kejuaraan.

Gelaran itu dianggap cukup penting dan bermakna kerana mampu menjadi hadiah terbaik buat seluruh rakyat Malaysia yang akan menyambut Hari Kemerdekaan ke-68 pada 31 Ogos nanti, serentak dengan aksi final di Paris.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi berkata, sambutan Hari Kemerdekaan itu mampu menjadi suntikan motivasi buat semua pemain bagi mempamerkan aksi terbaik dan merealisasikan hasrat mara ke perlawanan akhir.

Beliau juga mengakui berkongsi misi serta visi sama dengan pemain-pemain negara di mana Malaysia kali ini mempertaruhkan empat wakil beregu lelaki menerusi Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Arif Junaidi-Yap Roy King.

“Memang jadi satu motivasi, khususnya buat pemain-pemain untuk berikan hadiah kepada seluruh rakyat Malaysia sempena Hari Kemerdekaan. Itu satu perkara baik buat para pemain.

“Bagi saya, pemain-pemain akan menjadi lebih bersemangat bagi cuba mendapatkan gelaran dunia pada kejohanan itu nanti. Satu kejuaraan yang baik sesuai dengan Hari Kemerdekaan,” katanya.

Beliau juga meminta supaya tidak membeza-bezakan pemain sama ada yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ataupun bergerak secara profesional kerana bermain di bawah satu bendera.

Justeru, Herry mengharapkan sokongan penuh daripada seluruh rakyat Malaysia bagi memastikan pemain-pemain dapat menampilkan aksi terbaik dan memastikan tempat ke perlawanan akhir.

“Malaysia ada empat beregu (lelaki) di Kejohanan Dunia nanti tetapi saya tidak mahu tengok ada orang cakap ‘ini BAM, itu profesional’ kerana mereka sama-sama bermain untuk Malaysia,” ujar jurulatih dari Indonesia itu.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik satu-satunya wakil Malaysia yang pernah merangkul kejuaraan dunia selepas memenangi edisi 2022 di Tokyo, Jepun dengan menewaskan legenda Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI