LONDON – Crystal Palace mencipta sejarah manis apabila meraih kemenangan pertama dalam pentas Eropah selepas menundukkan kelab Norway, Fredrikstad 1-0 pada aksi pertama play-off Liga Konferens Europa di Selhurst Park awal pagi tadi.
Namun, kejayaan itu turut dibayangi perpisahan penuh emosi dengan tonggak utama, Eberechi Eze yang tidak tersenarai kerana semakin hampir untuk melengkapkan perpindahan ke Arsenal dalam masa terdekat.
“Eze tidak akan bermain lagi untuk kami, jadi tiada gunanya bercakap tentangnya. Kami hanya boleh mendoakan yang terbaik buatnya di kelab baharu,” kata pengendali Palace, Oliver Glasner selepas tamat perlawanan itu.
Bagaimanapun, Glasner menegaskan fokus kini beralih kepada mengukuhkan skuad, selain optimis kemenangan itu mampu menjadi titik permulaan baharu buat skuadnya.
“Bagi kami, ia tentang membawa masuk beberapa pemain baharu, cuma mereka tidak akan dibenarkan beraksi pada perlawanan timbal balik.
“Kemenangan ini penting, ia adalah kemenangan pertama kami di pentas Eropah. Kami berada di landasan yang betul,” jelas pengendali yang pernah menjuarai Liga Europa bersama Eintracht Frankfurt pada 2022 itu.
Sorakan bertukar kepada detik bersejarah apabila Jean-Philippe Mateta menanduk masuk gol kemenangan pada babak kedua iaitu gol pertama Palace dalam saingan Eropah.
Ia sekali gus menghidupkan impian para penyokong tegar pasukan itu selepas kali terakhir kelab berkenaan beraksi di pentas benua adalah 27 tahun lalu dalam saingan Piala Intertoto.
Biarpun hanya dalam Liga Konferens Europa, ia tetap memberi peluang buat Palace mengintai kejuaraan sulung, ,mengulangi kejayaan West Ham United dan Chelsea muncul juara dalam edisi terdahulu sekali gus menjadi pembakar semangat terbaik kelab berkenaan. – AGENSI