fbpx
Tangkap layar beberapa pelajar sedang meleraikan pergaduhan membabitkan dua pelajar sebuah sekolah dekat Sungai Petani, semalam.

Dua pelajar bergaduh sebab permohonan maaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Tidak berpuas hati dengan permohonan maaf yang dianggap tidak ikhlas dipercayai menjadi punca pergaduhan antara dua pelajar sebuah sekolah menengah, dekat sini semalam.

Pergaduhan membabitkan dua pelajar berkenaan mula tular dalam video berdurasi 24 saat di media sosial lewat petang semalam.

Video berkenaan dipercayai hasil rakaman daripada waris yang menunggu anak mereka di pintu hadapan sekolah semasa kejadian.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah yang enggan dikenali berkata, kejadian membabitkan dua pelajar tingkatan 1 berlainan kelas itu bermula semasa waktu Pendidikan Jasmani (PJ) kira-kira pukul 5 petang semalam.

“Pada masa itu terdapat sekumpulan pelajar sedang bermain bola sepak manakala satu kumpulan pelajar lain bermain sepak takraw di padang sekolah.

“Semasa permainan berlangsung, seorang pelajar yang sedang bermain bola sepak terkena bola takraw menyebabkan dia tidak berpuas hati dan bertindak memarahi salah seorang daripada pemain sepak takraw berkenaan sambil menuntut permohonan maaf,” katanya.

Katanya, pada masa itu berlaku pertengkaran kecil kerana pelajar yang terkena bola takraw berkenaan merasakan permohonan maaf yang diterima tidak ikhlas.

“Ketika dalam perjalanan pulang sebaik selesai sesi persekolahan petang, kedua-dua pelajar berkenaan bertembung di pintu keluar sekolah. Pelajar yang terkena bola takraw berkenaan kemudian sekali lagi meminta pelajar terlibat memohon maaf sebelum diikuti dengan satu pergaduhan kecil antara mereka,” dakwanya.

Dakwanya lagi, pergaduhan itu kemudian berjaya dileraikan oleh seorang guru yang bertugas mengawasi pergerakan pelajar di pintu keluar sekolah berkenaan.

“Kejadian pergaduhan itu sempat dirakam oleh waris pelajar yang menunggu anak mereka semasa pulang petang semalam sebelum menyebarkannya di media sosial.

“Bagi mengelak spekulasi berterusan kami dengan persetujuan pentadbiran sekolah bercadang membuat laporan polis dalam masa terdekat untuk menghalang penyebaran video berkaitan kerana kes itu telah berjaya diselesaikan secara baik antara semua pihak terlibat,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan yang dihubungi enggan mengulas lanjut kejadian itu kerana belum menerima sebarang laporan.- KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI