PETALING JAYA – Citaglobal Berhad (Citaglobal) telah dianugerahkan kontrak bernilai RM168.88 juta daripada Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) untuk projek Naik Taraf Jalan FT3, berikutan proses tender yang kompetitif.
Kontrak ini meningkatkan nilai perolehan kontrak Citaglobal kepada RM1.3 bilion dan mengukuhkan lagi reputasinya sebagai salah sebuah syarikat kejuruteraan awam dan pembinaan terulung di negara ini.
Citaglobal melalui anak syarikat milik penuhnya, Citaglobal, Citaglobal Land Sdn Bhd telah menerima Surat Setuju Terima daripada JKR untuk kontrak tersebut, yang melibatkan kerja- kerja menaik taraf jalan sedia ada, termasuk enam buah jambatan dan lima buah persimpangan, kerja tanah, kerja geoteknikal, saliran, turapan jalan, perabot jalan, pengurusan trafik, jalan dan lampu isyarat, serta kerja-kerja lain yang berkaitan.
Projek ini adalah sebahagian daripada kerja-kerja menaik taraf Laluan Persekutuan FT3 yang
lebih besar, yang melibatkan pelebaran Jalan Kota Bharu–Kuala Terengganu daripada dua
lorong sehala kepada empat lorong dua hala mengikut piawaian JKR.
Merentasi jarak 739 kilometer, lebuh raya FT3 bermula dari Rantau Panjang di Kelantan, bersempadan dengan Thailand, sehingga ke Johor Bahru.
Kontrak ini akan disiapkan dalam tempoh 42 bulan dari tarikh pemilikan tapak.
Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya berbangga kerana telah dipilih oleh JKR, melalui proses tender yang kompetitif, sebagai kontraktor untuk projek Naik Taraf Jalan FT3.
Menurut beliau, penerimaan kontrak ini adalah bukti kepada reputasi Citaglobal sebagai salah sebuah syarikat kejuruteraan awam dan pembinaan terkemuka di Malaysia serta dapat mengukuhkan lagi penglibatannya dalam projek-projek infrastruktur pembangunan negara.
“Walaupun Citaglobal telah menyatakan hasratnya untuk meneroka penjana pertumbuhan
baharu dalam sektor tenaga boleh baharu dan teknologi, perniagaan kejuruteraan awam dan pembinaan kekal sebagai pemacu pendapatan teras dan stabil bagi Kumpulan.
“Kami berterima kasih kepada Kementerian Kerja Raya dan JKR atas peluang ini dan berharap
dapat menjayakan satu lagi projek dengan cemerlang,” katanya dalam kenyataan. -KOSMO! ONLINE