SUBANG JAYA – Polis mengambil keterangan 30 individu berhubung kes kematian seorang pelajar kolej wanita di sebuah rumah di USJ 2, di sini pada 14 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kesemua individu itu terdiri daripada ahli keluarga, jiran dan rakan-rakan mangsa.
Katanya, polis memerlukan sedikit masa untuk melengkapkan siasatan kes tersebut.
“Kes ini masih berjalan. Kami sedang meneliti semua maklumat yang diperoleh dan akan memanggil lima individu lagi bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, telefon bimbit mangsa akan dianalisisa bagi mengesan individu yang berhubung dengan si mati sebelum kejadian.
“Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di sekitar rumah berkenaan juga telah diperoleh dan siasatan sedang dibuat. Kami tidak mahu ada sebarang petunjuk terlepas daripada tindakan polis,” ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan polis mengesahkan kematian seorang pelajar kolej berusia dalam lingkungan 20-an di sebuah rumah di USJ 2 disiasat sebagai kes bunuh.
Polis menerima panggilan daripada seorang lelaki pada pukul 11.55 pagi memaklumkan menjumpai anaknya dalam keadaan tergantung pada kipas di ruang tamu di tingkat dua rumah berkenaan. – KOSMO! ONLINE