LONDON – Kerajaan Britain bersetuju membayar sebanyak £2.9 juta (RM16 juta) kepada ribuan mangsa kebakaran di Kenya yang berpunca daripada sesi latihan tenteranya di negara itu, lapor saluran berita CNN semalam.
Penyelesaian itu dicapai selepas pertikaian undang-undang yang panjang oleh kumpulan anggota komuniti tempatan di negara Afrika Timur itu dengan kerajaan Britain.
Mereka berkata, kesan daripada kebakaran tahun 2021 di sebuah kawasan konservasi hidupan liar di Kenya tengah, telah menyebabkan anggota-anggota komuniti mengalami masalah kesihatan seumur hidup, merosakkan harta benda serta mencemarkan alam sekitar.
Sebahagiannnya memberitahu CNN bahawa mereka juga kehilangan ahli keluarga kerana penyakit akibat kebakaran besar sehingga memusnahkan lebih 4,046 hektar tanah di kawasan konservasi persendirian Lolldaiga.
Kebakaran itu dipercayai bermula secara tidak sengaja semasa latihan ketenteraan Britain.
Unit Latihan Tentera Britain di Kenya (BATUK) ketika itu memuat naik video yang menunjukkan anggota-anggotanya berusaha memadamkan api, sambil mendakwa bahawa komuniti dan hidupan liar berada dalam keadaan selamat.
Kerajaan Britain kini bersetuju membayar £2.9 juta kepada 7,723 rakyat Kenya yang membuat aduan tetapi tidak akan bertanggungjawab ke atas kebakaran itu, demikian menurut perjanjian sulit yang diperoleh CNN.
Bayaran itu tidak diagihkan secara sama rata.
Namun, ramai penerima berasa kecewa kerana selepas empat tahun berjuang di mahkamah, mereka hanya menerima 22,000 shilling (RM719) setiap seorang dan kini merancang untuk mengadakan protes, kata seorang wakil rakyat tempatan.
“Ia satu kejayaan kerana ini kali pertama kita menang kes terhadap Tentera Britain di Kenya, tetapi jumlahnya terlalu sedikit, hampir tiada makna,” kata Ahli Parlimen Daerah Laikipia, Cate Waruguru. – AGENSI