BACHOK – Seorang bekas atlet paralimpik sukan angkat berat tidak menyangka video dia berjalan dari sebuah bank di Kota Bharu tular dalam media sosial semalam.
Muhammad Hafidz Abdul Rahman, 44, berkata, ketika kejadian, dia berasa kecewa kerana mesin pengeluaran wang automatik (ATM) tersebut kehabisan wang.
“Selepas video itu tular, ramai yang bersimpati dengan keadaan fizikal saya dan ingin membantu. Saya tidak menyangka video saya berjalan itu memberi kesan emosi kepada orang ramai.
“Saya menyara isteri (Nurul Izzaifah Daud) dan dua anak berusia empat dan 11 tahun dengan menjaja keropok yang diambil daripada peniaga di Besut menggunakan motosikal roda tiga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mokkan, Tawang hari ini.
Lelaki itu memberitahu, isterinya yang juga bekas atlet paralimpik sukan petanque dan boling padang mengambil upah membuat sarung tangan di rumah dengan bayaran RM1.20 sekilogram.
“Walaupun pergerakannya terbatas kerana hanya mampu merangkak keluar dari rumah, saya tetap keluar mencari nafkah untuk menyara kami empat beranak,” katanya.
Muhammad Hafidz berkata, perbelanjaan keluarga termasuk anak sekolah, barangan dapur dan lampin pakai buang isterinya mencecah RM1,200 sebulan. Mereka turut dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat masing-masing sebanyak RM450 sebulan.
“Buat masa ini, rezeki tetap ada dan keluarga saya tidak pernah berlapar kerana ada insan baik yang membantu kami dengan menghantar beras atau ikan,” katanya.
Tambahnya, kesihatannya dan isteri yang menghidap penyakit saraf semakin merosot kerana sering kekejangan selain tidak boleh melakukan pekerjaan selama dua hingga tiga hari selepas makan ubat.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Muhammad Hafidz di talian 017-962 4044 atau menyalurkan ke akaun Bank Rakyat bernombor 2248679095. – KOSMO! ONLINE