LONDON – Arsenal kini berdepan situasi tidak menentu menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Leeds United hujung minggu ini selepas penyerang, Kai Havertz dilaporkan mengalami kecederaan lutut.
Bintang Jerman itu dijangka diketepikan untuk tempoh yang panjang antara tiga hingga empat bulan, sekali gus memaksa The Gunners kembali memasuki pasaran perpindahan pemain bagi membawa masuk muka baharu dan mengisi kekosongan ditinggalkan Havertz.
Biarpun sudah mendapatkan khidmat penyerang Sweden, Viktor Gyokeres, namun bekas pemain Sporting Lisbon dilihat seperti hilang arah pada penampilan sulungnya ketika Arsenal menewaskan Manchester United 1-0 minggu lalu.
Ketiadaan Havertz jelas menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokong Arsenal kerana dua lagi pemain, Christian Norgaard dan Ben White turut tidak kelihatan pada sesi latihan terbaharu pasukan itu.
Keadaan tersebut sekali gus mencetuskan spekulasi Arsenal mungkin akan mendapatkan penggempur baharu termasuk penyerang Chelsea, Nicolas Jackson dan pemain Newcastle United, Alexander Isak bagi membentuk gandingan bersama Gyokeres.
Meskipun imbasan awal mengatakan Havertz mengalami kecederaan lutut, namun tidak dapat dipastikan tempoh sebenar pemain Jerman itu akan diketepikan dengan laporan mendakwa dia mungkin perlu berehat lebih tiga bulan.
Sekiranya tiga pemain yang disebut itu tidak dapat diturunkan hujung minggu ini, Arsenal berdepan misi sukar memandangkan Leeds juga memulakan kempen dengan langkah kanan selepas menang ke atas Everton. – AGENSI