MELAKA – Seorang ahli sindiket mencuri susu formula dengan cara menyorok di celah kelangkang didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencuri sebanyak 11 kotak susu bernilai RM1,826.10, dua minggu lalu.
Tertuduh, Mohd. Safri Jilji, 32, mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret N. Sivashangari.
Berdasarkan dua kertas pertuduhan, tertuduh bersama-sama dua lagi yang masih bebas telah didapati dengan niat mencuri 11 kotak susu bernilai RM1,826.10 di 99 Speedmart Taman Paya Emas dan 99 Speedmart Bandar Baru Sungai Udang dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 7 malam pada 1 dan 2 Ogos 2025.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda dan bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudian hendaklah dihukum dengan pemenjaraan dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK) di baca bersama Seksyen 34 KK.
Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Roslan mencadangkan jaminan berjumlah RM8,000 bagi setiap pertuduhan.
Peguam Chua Yong Yi yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya baru menjalani pembedahan dan perlu mendapatkan rawatan susulan di Hospital Melaka selain menjaga ibunya yang menghidap penyakit strok.
Katanya, tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap dan bergantung kepada pendapatan isterinya yang bekerja di salun kecantikan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan tarikh 7 Oktober depan bagi sebutan semula kes.
Pada 14 Ogos lalu, Kosmo! melaporkan, empat ahli sindiket digelar Geng Susu Kangkang yang aktif mencuri susu formula dengan taktik mengepitnya di celah kelangkang tumpas selepas diberkas dalam serbuan di sebuah kondominium di Kuala Lumpur pada 10 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, geng tersebut dipercayai telah aktif sejak 2011 dan telah memecah masuk sebanyak 12 premis dalam tempoh seminggu di beberapa negeri termasuk Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.- KOSMO! ONLINE