ALOR SETAR – Sebanyak 748 kes buli direkodkan di negeri ini sepanjang sesi persekolahan 2024–2025 melibatkan pelbagai bentuk salah laku.
Data daripada Unit Hal Ehwal Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah itu dikongsikan dalam khutbah Jumaat yang disampaikan di Masjid Albukhary Alor Malai, di sini hari ini.
Khatib Muhammad Sayuti Abdul Syukur yang juga Pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman berkata, kes itu melibatkan buli dan seksual termasuk fizikal, bahasa, isyarat, siber dan lain-lain.
“Mengakhiri khutbah hari ini, marilah kita renungi sejenak kisah yang berlaku dalam negara kita iaitu isu buli. Isu yang tidak pernah padam dan ia datang bermusim.
“Mimbar mahu menegur adik-adik di bangku sekolah janganlah sekali-kali terjebak dalam budaya buli yang kadang-kadang berakhir dengan kematian. Ingatlah adik-adik sekalian masa remajamu jangan dijebakkan dengan perbuatan sebegitu,” katanya.
Buli merupakan perbuatan yang ditegah agama dan ia tidak berperikemanusiaan.
“Perbuatan sebegini bukan sahaja mencemarkan maruah individu, malah menodai keharmonian institusi pendidikan kita. Adik-adik remaja sekalian janganlah menganiaya, sakiti dan zalimi orang lain,” ujarnya.
Khatib turut memberi contoh kes pelajar perempuan diikat dan dikurung dalam tandas sekolah serta pelajar lelaki yang cedera akibat dipukul rakan sendiri.
Kejadian itu dipercayai merujuk kes yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Sungai Petani melibatkan pelajar perempuan berusia 13 tahun yang cedera selepas dikurung dua pelajar lain dalam tandas sekolah.
Dua pelajar itu dituduh di Mahkamah Majistret Sungai Petani dan mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencederakan dan mengurung mangsa pada 14 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE