GEORGE TOWN – Tiga premis makanan di sekitar Daerah Timur Laut diarah tutup serta-merta selama 14 hari bermula semalam selepas pemeriksaan mendapati tahap kebersihan tidak memuaskan termasuk penemuan najis tikus di stor, ruang penyimpanan makanan beku dan dapur.
Jurucakap Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkata, tindakan itu diambil dalam Operasi Bersepadu malam tadi melibatkan Jabatan Pelesenan MBPP bersama pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
”Kesemua premis terbabit dikenakan tindakan di bawah Undang-Undang Kecil 38(1), Undang-Undang Kecil (Establishment Makanan) MPPP 1991 kerana gagal mengekalkan tahap kebersihan mengikut standard ditetapkan.
”Penutupan premis ini berkuat kuasa serta-merta mulai semalam sehingga 3 September 2025,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, dalam operasi itu juga, sebanyak 14 kompaun dikeluarkan di bawah UUK 12(1), Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan MPPP 1983 kerana pengendali makanan gagal mendapatkan atau mengemukakan kad pelalian suntikan anti-tifoid ketika pemeriksaan dijalankan.
”Selain itu, KPDN turut mengeluarkan kompaun terhadap sebuah premis makanan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana gagal memaparkan caj perkhidmatan dalam Ringgit atau sen.
”Sebuah lagi premis pula dikenakan tindakan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972, Seksyen 14(6) kerana menggunakan peralatan timbang yang tidak disahkan bagi tujuan perdagangan,” katanya.
Katanya, MBPP akan terus melaksanakan operasi bersepadu seumpama ini bersama agensi penguat kuasa lain dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang dan keselamatan makanan terjamin. -KOSMO! ONLINE