WASHINGTON – Pejabat Pengarah Perisikan Negara (ODNI) Amerika Syarikat (AS) akan memberhentikan kakitangannya dan mengurangkan belanjawan sebanyak lebih AS$700 juta (RM2.9 bilion) setiap tahun, lapor akhbar Arab News.
Langkah itu akan menyebabkan pengecilan saiz secara besar-besaran bagi pejabat yang bertanggungjawab menyelaraskan kerja 18 agensi perisikan termasuk anti keganasan dan perisikan balas.
Langkah terbaharu oleh pentadbiran Presiden Donald Trump dibuat ketika beliau bergelut dengan penilaian komuniti perisikan.
“Sejak 20 tahun yang lalu, ODNI menjadi semakin tidak cekap, manakala komuniti perisikan dipenuhi dengan penyalahgunaan kuasa, kebocoran risikan sulit dan senjata perisikan untuk tujuan politik.
“Menghentikan penggunaan senjata perisikan dan menuntut pelaku bertanggungjawab adalah penting untuk mendapatkan kepercayaan rakyat Amerika yang telah lama terhakis,” kata Pengarah Perisikan Negara, Tulsi Gabbard ketika mengumumkan pengurangan tenaga kerja lebih 40 peratus.
Perubahan mendadak lain termasuk melibatkan Pusat Pengaruh Kejahatan Asing yang bertujuan untuk mengesan operasi pengaruh dari luar negara dan ancaman terhadap pilihan raya.
Penyusunan semula tersebut merupakan sebahagian daripada usaha pentadbiran yang lebih luas untuk memikirkan semula cara untuk menjejaki ancaman asing ke atas pilihan raya AS.
Keputusan itu disambut baik oleh Senator Republikan, Tom Cotton di mana beliau memuji ia sebagai langkah penting untuk mengembalikan ODNI kepada saiz, skop dan misi asal. – AGENSI