NARATHIWAT, THAILAND – Tiga anggota Pasukan Pertahanan Sukarelawan (OSor) cedera selepas kereta dipasang bom yang menyasarkan pusat pemeriksaan meletup di Kampung Khok Mafueang, Mukim Salamai, Tak Bai di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 8 malam itu, tiga anggota yang cedera ialah Leftenan Kolonel Abdulmanas Nimu, 44, Mamasabri Mingyina, 40, dan Suhairi Jeh Sae, 38.
Jurucakap polis wilayah Narathiwat berkata, siasatan awal mendapati, sebuah kereta jenis Toyota Yaris telah digunakan dalam serangan itu.
Menurutnya, kereta yang dipasang bom itu diletakkan di hadapan sebuah kedai perabot kira-kira 10 meter dari pusat pemeriksaan Salamai tanpa dimatikan enjin.
“Seorang lelaki keluar dari bahagian pemandu dan menaiki sebuah motosikal ditunggang rakannya. Kereta itu dibiarkan bergerak sendiri ke arah pusat pemeriksaan berkenaan.
“Kereta tersebut dipercayai diletupkan menggunakan alat kawalan jauh selepas ia melanggar guni pasir di pusat pemeriksaan berkenaan. Kekuatan letupan itu mencederakan tiga anggota OSor selain memusnahkan kereta tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jurucakap itu memberitahu, anggota pasukan keselamatan juga melepaskan tembakan ke arah kedua-dua suspek, namun mereka sempat meloloskan diri.
Menurutnya, susulan kejadian itu, pihak berkuasa mengepung kawasan berkenaan bagi membolehkan bahagian pemusnah bom dan unit forensik mengumpul bukti pagi ini.
“Ini merupakan serangan bom kedua dengan menggunakan kereta dalam tempoh hampir setahun di Tak Bai dan kes ketiga di Narathiwat. Serangan bom kereta pertama berlaku ketika serangan ke atas Pejabat Daerah Sungai Golok pada 8 Mac lalu.
“Bom yang dilekatkan pada kereta menggegarkan bandar Tak Bai pada 29 September tahun lalu. Kekuatan letupan bom yang dianggarkan seberat 50 hingga 80 kilogram itu merosakkan beberapa premis dan kebakaran memusnahkan kediaman penduduk tempatan, dan mencederakan dua anggota marin,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE