PETALING JAYA – Umat Islam dilarang sama sekali membunuh orang lain walaupun dalam keadaan terdesak termasuk diugut atau diancam bunuh, tegas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (Unisiraj), Dr. Rozaimi Ramle.
Menerusi satu hantaran di Facebook rasmi beliau yang tular, Dr. Rozaimi atau lebih dikenali sebagai Dr. Rora berkata, tindakan membunuh tanpa hak adalah dosa besar dan tidak dibenarkan sama sekali dalam Islam.
“Adapun jika diugut supaya membunuh orang yang lain, jika tidak laksanakan tugasan itu, maka diri sendiri pula akan dibunuh oleh yang mengugut, maka tetap tidak boleh laksanakan tugasan itu untuk membunuh orang lain tersebut tanpa hak,” tegasnya.
Beliau menambah, membunuh hanya kerana amarah atau dendam adalah lebih tidak dibenarkan dan hanya mengundang dosa besar.
“Jika dalam keadaan ini pun tidak boleh lakukan, apatah lagi sekiranya membunuh disebabkan dendam dan amarah yang membuak-buak,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Dr. Rora turut menjelaskan bahawa umat Islam dituntut untuk mempertahankan diri, nyawa, keluarga dan harta daripada ancaman seperti rompakan, namun bukan dengan membunuh tanpa hak.
Hantarannya itu turut memuatkan hadis sahih daripada Rasulullah SAW yang menyebut sesiapa yang mati mempertahankan harta, agama, diri atau keluarga, maka dia tergolong sebagai syahid. – KOSMO! ONLINE.