KUALA LUMPUR – Terkesan dengan isu buli melibatkan Allahyarham Zara Qairina, pelakon Liyana Jasmay, 37, mengakui anaknya kini takut untuk mendaftar masuk sekolah berasrama.
Menurut Liyana, sebagai ibu yang mempunyai dua anak perempuan berusia 11 dan sembilan tahun, dia sendiri takut apabila membaca terlampau banyak kes buli yang berlaku dalam negara.
“Saya ada anak perempuan yang semakin membesar. Sudah tentu saya takut. Anak-anak saya bila mereka baca tentang kes adik Zara, mereka terus takut nak masuk sekolah berasrama.
“Saya sendiri pernah lalui fasa dibuli ketika berusia 13 tahun. Saya pernah dipukul. Tetapi saya tidak berdiam diri.
“Ada masanya saya akan lawan balik untuk lindungi diri saya. Saya juga beritahu kakak apa yang berlaku di sekolah dan dia berdepan (jumpa) pembuli tersebut,” katanya ketika ditemui di sesi bersama pelakon drama Putri & Phrince, semalam.
Tambah pelakon filem Papadom itu lagi, penting untuk rakan sebaya ambil tahu apa yang berlaku kepada sahabat sekeliling.
“Kalau tengok kawan anda kena buli, kena tolong mereka. Bukan tengok sahaja kawan itu kena buli lepas tu diam. Tak boleh begitu,” jelasnya.
Disebabkan itu juga, Liyana turut menyelitkan isu buli siber dan buli rakan sebaya di sekolah dalam karya terbaru arahannya berjudul Putri & Phrince.
Kata Liyana, dia suka menghasilkan karya berkaitan remaja kerana sewaktu dia membesar, naskhah melibatkan remaja agak kurang di Malaysia.
“Saya banyak menonton drama atau filem tentang remaja dari Amerika Syarikat. Sebenarnya drama tentang remaja ini patut ditonton bukan sahaja oleh golongan remaja tetapi juga ibu bapa untuk mereka faham apa yang remaja lalui.
“Perempuan bahaya sikit kerana sifat cemburu mereka. Ramai orang tak percaya. Bila cakap saya nak buat cerita remaja perempuan yang cemburu, orang tanya balik ‘ye ke perempuan cemburu?’ Mereka tak sedar. Tetapi bila dah terjadi sesuatu perkara barulah orang nak buka mata. Sebabkan sifat cemburu dan sakit hati, macam-macam boleh jadi.
“Sebab itu dari dulu sampai sekarang, karya-karya yang saya hasilkan memang berkisarkan remaja. Saya nak pupuk remaja sekarang supaya buang rasa cemburu, sakit hati dengan rakan sebaya,” ujarnya.
Putri & Phrince yang dibintangi oleh Badron Munirah, Nesa Idrus, Adriana Adnan, Farah Nadiah dan Khayrisyah Kemal mula ditayangkan di platform penstriman VIU bermula 21 Ogos 2025. – KOSMO! ONLINE