PETALING JAYA – Sebanyak 348 permohonan Program Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) DBKL gagal untuk melanjutkan tempoh kerana tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, antara faktor kegagalan yang dikenal pasti termasuklah tunggakan bayaran sewa rumah dan air yang tinggi dan pendapatan isi rumah melebihi RM4,000 sebulan.
Selain itu, DBKL berkata antara syarat lain yang gagal dipatuhi adalah tempoh pemilikan rumah dalam radius 35 kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur, mempunyai pasangan bukan warganegara, serta tidak menetap di unit dan menyewakan kepada penyewa tidak sah.
“Bagi penyewa yang gagal melanjutkan tempoh, DBKL mengeluarkan Notis Gagal Lanjut Tempoh dengan memberikan tempoh 30 hari untuk mengosongkan unit serta memulangkan kunci.
“Walau bagaimanapun, penyewa masih boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh tersebut tertakluk kepada pertimbangan munasabah pihak DBKL,” katanya dalam kenyataan hari ini.
DBKL berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan media baru-baru ini berkenaan dakwaan 150 penduduk di beberapa PPR yang menerima notis arah kosong kediaman.
Tambah kenyataan itu, statistik pengeluaran notis peringatan lanjut tempoh yang dikeluarkan oleh DBKL dari bulan Januari lalu hingga Julai ini (peringatan enam bulan sebelum tamat tempoh) adalah sebanyak 5,307 notis.
“Dari jumlah notis tersebut jabatan telah menerima sebanyak 3,379 permohonan lanjut tempoh untuk diproses.
“Sebanyak 3,031 permohonan telah diluluskan lanjutan tempoh dan menepati syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya.
DBKL berkata tempoh perjanjian sewa bagi perumahan DBKL kali pertama adalah selama tiga tahun dan perlu diperbaharui setiap dua tahun berikutnya.
Jelasnya, permohonan lanjutan tempoh sewaan ini adalah prosedur standard untuk pemantauan dan penapisan bagi
memastikan hanya penyewa yang menepati syarat penyewaan dibenarkan terus menduduki unit PA atau PPR.
“DBKL menegaskan bahawa langkah penguatkuasaan ini dilaksanakan bagi memastikan peluang untuk menduduki unit PA atau PPR diberikan kepada golongan yang benar-benar layak serta bertanggungjawab dalam menjelaskan bayaran sewa bulanan.
“DBKL akan terus komited untuk melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan di semua PA dan PPR di bawah seliaannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE