KAJANG – Kegiatan sebuah taman hiburan di Sungai Long, di sini yang menggajikan warga asing tanpa permit sah terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen (JIM), Isnin lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan pukul 1.40 petang itu dijalankan hasil risikan selama dua minggu dengan kekuatan 35 pegawai pelbagai pangkat.
“Daripada 123 individu terdiri diperiksa, seramai 46 warga asing ditahan membabitkan 31 lelaki dan sembilan wanita warga Myanmar, dua lelaki warga Indonesia, tiga lelaki warga Bangladesh serta seorang wanita warga Thailand berusia di antara 23 hingga 47 tahun.
“Semasa operasi dijalankan, sebanyak empat Borang 29 (Saman kepada Saksi) telah dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, katanya, JIM turut menyerbu sebuah kilang perindustrian dan pasar raya di
Balakong dan Puchong dalam operasi berasingan kira-kira pukul 11.45 pagi, kelmarin.
Katanya, hasil pemeriksaan 64 individu, seramai 48 pendatang asing tanpa izin (PATI) terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Nepal, India dan Pakistan berusia di antara 18 hingga 49 tahun telah ditahan.
“Semasa serbuan terdapat PATI yang cuba melarikan diri dan bersembunyi, namun berjaya digagalkan oleh pegawai.
“Tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan aduan awam berhubung majikan yang menggaji warga asing di lokasi tersebut tanpa memiliki dokumen yang sah,” jelasnya.
Menurutnya, kesemua 94 warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Millenium Beranang dan Lenggeng untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat di bawah bawah Seksyen 6 (1)(c) Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – KOSMO! ONLINE