SEREMBAN – Sepasang suami isteri terpaksa ditidurkan, manakala tiga anak mereka ditahan di wad hospital selepas terhidu asap dalam kebakaran di rumah mereka di Taman Permai Impian di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, kira-kira 70 peratus rumah pasangan tersebut dan sebuah kereta jenis Proton Saga musnah dijilat api.
Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2, Penolong Kanan Penguasa Bomba Ahmad Khomeini Kamarudzaman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 2.33 pagi.
“Sepasukan anggota dari BBP Seremban 2 dengan dibantu BBP Seremban bergegas ke lokasi. Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis kekal berkeluasan 126 meter persegi.
“Kebakaran memusnahkan 70 peratus kediaman dan api berjaya dikawal pada pukul 2.57 pagi. Sebuah kereta turut terbakar kira-kira 50 peratus,” katanya ketika dihubungi hari ini.-KOSMO! ONLINE