KEJOHANAN Berbasikal Trek Piala Asia di Suphanburi, Thailand bermula 28 hingga 30 Ogos ini bakal menjadi medan untuk pelumba-pelumba negara merebut peluang bagi mengisi slot ke Sukan SEA Thailand 2025 Disember depan.
Tiga pelumba termasuk Muhammad Fadhil Mohd. Zonis, Muhammad Ridwan Sahrom dan Akmal Nazimi Jusena akan merebut satu lagi slot bagi mengiringi jaguh negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom ke temasya dwitahunan itu.
Ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara, Harnizam Basri berkata, prestasi ketiga-tiga pelumba itu akan dinilai pada saingan Piala Asia nanti menerusi acara pecut berpasukan lelaki, pecut individu dan keirin.
“Kami akan menghantar Fadhil, Ridwan dan Akmal untuk menyertai saingan Piala Asia nanti. Mereka bertiga akan beraksi dalam acara pecut berpasukan lelaki, pecut individu dan juga keirin.
“Pelumba kedua untuk keirin di Sukan SEA nanti akan dipilih berdasarkan prestasi mereka di Piala Asia. Oleh itu, mereka perlu bersaing sesama sendiri untuk mendapatkan slot tersebut secara merit,” katanya.
Bagi edisi Sukan SEA kali ini, hanya acara keirin dan pecut berpasukan lelaki dipertandingkan bagi disiplin pecut dan Malaysia dilihat berpeluang cerah untuk membawa pulang kilauan pingat emas.
Sementara itu, tiga pelumba wanita seperti iaitu Anis Amira Rosidi, Nurul Aliana Syafika Azizan dan Nur Alyssa Farid akan turut menggalas cabaran dalam acara sama pada saingan Piala Asia nanti.
Pada masa sama, Harnizam turut menjelaskan pasukan negara tidak menyenaraikan Shah Firdaus dan ratu berbasikal trek, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri ke Piala Asia kerana mahu memberi tumpuan kepada persiapan ke Kejohanan Dunia di Chile Oktober nanti.