GEORGE TOWN – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang menggagalkan cubaan membawa masuk 100 anak pokok kulit kayu manis dari Taiwan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini, hari ini.
Rampasan dilakukan oleh sepasukan pegawai Maqis ke atas seorang penumpang di Balai Ketibaan Antarabangsa LTAPP sebelum menemukan dua kotak berisi anak pokok tumbuhan itu.
Jurucakap Maqis berkata, cubaan itu dilakukan tanpa permit import yang sah seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
”Barangan yang ditahan dipercayai dibawa masuk dari Taiwan tanpa kelulusan. Sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Menurut jurucakap Maqis, tindakan mengimport barangan pertanian tanpa kebenaran boleh mengundang risiko besar kepada keselamatan biosekuriti negara.
”Maqis sentiasa tegas memastikan setiap pengimportan produk pertanian ke dalam negara mematuhi syarat yang ditetapkan bagi mengelakkan ancaman penyakit, perosak serta pencemaran genetik.
”Pihak kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba melanggar syarat pengimportan barangan pertanian. Barang rampasan itu ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya. -KOSMO! ONLINE