fbpx
Gambar hiasan.

RM1.4 bilion bagi Skim Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit – Johari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) memohon peruntukan berjumlah RM1.4 bilion di bawah Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) bagi tempoh lima tahun, dengan sasaran meliputi 82,979 hektar tanaman semula sawit.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata dana itu merupakan sebahagian strategi jangka panjang untuk memastikan industri sawit negara kekal mampan, kompetitif serta memberi pulangan optimum, khususnya kepada pekebun kecil persendirian.

Beliau berkata, meskipun kerajaan memperuntukkan RM100 juta setahun bagi TSPKS 2.0 dengan sasaran 5,900 hektar tanaman semula, jumlah itu masih belum mencukupi.

“Sehubungan itu, pihak kementerian akan cuba membentangkan permintaan bagi peruntukan ini yang lebih besar untuk kita agihkan kepada seluruh pekebun-pekebun kecil yang dianggarkan RM280 juta setahun.

“Kita masih belum mendapat kelulusan lagi dan kita akan buat permintaan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Johari berkata kos penanaman semula sawit pada masa ini tinggi iaitu sekitar RM18,000 hingga RM20,000 setiap hektar.

“Walaupun RM1.4 billion sepanjang lima tahun hanya mampu menyokong sebahagian daripada keperluan penanaman semula sawit oleh pekebun kecil persendirian, ia merupakan langkah permulaan yang penting bagi memperkukuh sokongan berterusan kepada pekebun kecil persendirian yang mewakili 14.6 peratus daripada jumlah keluasan tanaman sawit di Malaysia,” katanya.

Menurut Johari, bagi mencapai sasaran empat peratus setahun, KPK sentiasa menggalakkan syarikat perladangan, pengusaha dan pemilik kebun sawit menebang pokok tua serta menanam semula dengan bahan tanaman berkualiti tinggi.

Mengulas cadangan penggunaan Cukai Keuntungan Luar Biasa (WPT) dan Elaun Pelaburan Semula (RA) untuk meningkatkan usaha tanam semula, Johari menjelaskan perkara itu di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan (MOF).

“КРК mengemukakan cadangan ini kepada MOF semasa Sesi Belanjawan 2025 dan masih dalam penelitian mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI