BANGKOK – Perdana Menteri Thailand yang digantung tugas, Paetongtarn Shinawatra tiba di mahkamah hari ini untuk memberi keterangan dalam kes yang menuntut agar beliau dipecat daripada jawatannya berhubung pengendalian pertikaian sempadan dengan Kemboja.
Paetongtarn yang merupakan anak perempuan kepada jutawan kontroversi dan bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, dituduh gagal dalam tugasnya. Beliau didakwa tidak membela negara dengan betul dalam panggilan telefon dengan bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen.
Dalam panggilan itu, Paetongtarn memanggil Hun Sen sebagai ‘pak cik’ dan merujuk seorang komander tentera Thai sebagai ‘lawannya’. Ia mencetuskan reaksi berang dalam kalangan rakyat Thailand.
Penggubal undang-undang konservatif menuduhnya melutut kepada Kemboja dan melemahkan tentera, sebuah institusi yang sangat berkuasa di Thailand.
Sekutu utama dalam pakatan pemerintah Paetongtarn turut keluar sebagai membantah kelakuan beliau dalam rakaman panggilan yang dibocorkan itu, satu langkah yang hampir meruntuhkan kerajaannya.
Sekumpulan senator memfailkan petisyen dengan Mahkamah Perlembagaan serta berhujah bahawa Paetongtarn perlu disingkirkan daripada jawatannya kerana melanggar peruntukan Perlembagaan yang memerlukan integriti jelas dan standard etika dalam kalangan menteri.
Mahkamah Perlembagaan sama yang menggulingkan pendahulu Paetongtarn setahun lalu dalam kes etika berasingan, akan memutuskan Jumaat depan sama ada beliau perlu dipecat daripada jawatannya.
Mahkamah menggantung Paetongtarn daripada jawatannya bulan lalu dan memanggil beliau untuk menjawab soalan berkenaan kes itu hari ini.
Dengan memakai sut hitam, Paetongtarn tersenyum dan menyapa wartawan ketika tiba di mahkamah di Bangkok bersama penasihat tertinggi yang turut dinamakan dalam kes itu, Prommin Lertsuridej.
Jika keputusan tidak berpijak kepadanya, Paetongtarn akan menjadi ahli keluarga Shinwatra ketiga yang digulingkan awal sebagai Perdana Menteri, selepas bapa dan ibu saudaranya, Yingluck.
Kedua-dua mereka digulingkan dalam rampasan kuasa tentera. – AFP