fbpx
Zulkifli ketika berucap pada Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Agensi Hal Ehwal Agama Tahun 2025 di Putrajaya hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR

Pihak fitnah TH diminta bertaubat, mohon maaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Mana-mana pihak yang membuat dakwaan tidak benar terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) perlu segera bertaubat dan memohon maaf atas fitnah yang dilemparkan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, walaupun TH telah memberikan penjelasan berhubung isu penjenamaan semula institusi itu, masih terdapat segelintir pihak yang menyebarkan berita palsu sehingga menimbulkan kekeliruan rakyat.

“Apabila kita mendapat berita, perkara pertama yang kita perlu lakukan adalah tabayun untuk memastikan kesahihan.

“Kepada mereka yang menyebarkan berita palsu, yang menyebarkan fitnah, maka perkara pertama yang kena lakukan taubat.

“Mereka kena membetulkan fakta dan mereka perlu menyatakan keinsafan, bertaubat kepada Allah dan memohon maaf kepada pihak yang mereka fitnah,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Bulan Kebangsaan peringkat Agensi Hal Ehwal Agama Tahun 2025 di sini hari ini.

Sebelum ini, TH menafikan dakwaan kononnya sejumlah RM20 juta dibelanjakan bagi proses penjenamaan semula institusi itu dan menegaskan tuduhan tersebut tidak benar sama sekali, malah ia merupakan fitnah.

Peruntukan sebenar bagi proses penjenamaan jenama hanyalah RM2 juta setahun untuk tempoh tiga tahun dan langkah ini penting bagi memperkukuh jenama serta menarik minat umat Islam menabung secara sistematik, selaras dengan perubahan demografi masyarakat Islam di negara ini.

Isu itu dibangkitkan dibangkitkan Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) sewaktu perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat baru-baru ini yang bertanyakan pencerahan berhubung kos penjenamaan semula TH yang dikatakan bernilai RM20 juta dengan tiga firma bukan Islam terbabit dalam projek itu

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, tindakan menyebarkan fitnah bukan sahaja memberi implikasi buruk kepada institusi Islam itu, malah boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap pengurusan haji negara yang diiktiraf antara terbaik di dunia.

“Kita mahu melihat bahawa hal ehwal agama Tabung Haji kita terus cemerlang. Kita dapat saksikan bagaimana Tabung Haji merupakan salah satu ataupun mungkin yang terbaik di dunia dari segi pengurusan.

“Kita mendapat anugerah Diamond Award dalam pengurusan haji. Jadi itu pun kalau kita tak syukuri, apalah jadi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam supaya terus menyokong usaha Tabung Haji dalam memastikan perkhidmatan kepada jemaah haji berada pada tahap tertinggi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI