PUTRAJAYA – Pesta Mega Buku dan Hadiah MPH Bookstores mula membuka tirainya pada hari ini sehingga 1 September depan di Pusat Beli-Belah Alamanda bagi meraikan orang ramai khususnya peminat buku.
Pada acara kali ini, MPH Bookstores, Scholastic Asia, MYTV dan penerbit tempatan menjalin kerjasama membawakan pelbagai aktiviti menarik dengan menumpukan kepada budaya membaca serta usaha dan kemahiran lain berasaskan pembelajaran.
Ketua Pegawai Eksekutif MPH Bookstores, Martin Cross berkata, dengan lebih satu abad dalam dunia jualan buku di Malaysia, pesta buku yang berlangsung itubmenandakan satu pencapaian membanggakan bagi MPH Bookstores dalam perayaan ilmu dan kreativiti.
“Malaysia sememangnya sebuah negara yang kaya dengan budaya, kepelbagaian dan ilmu. Di MPH, kami bangga menjadi sebahagian daripada usaha untuk terus memupuk budaya membaca yang telah membentuk generasi demi generasi.
“Pesta Mega Buku ini adalah bukti komitmen kami untuk menjadikan buku lebih mudah diakses dan dihargai.
“Acara ini juga mencerminkan kerjasama erat kami dengan penerbit, penulis dan rakan tempatan serta antarabangsa. Kami berpegang teguh kepada sokongan terhadap bakat tempatan dan memberi mereka pentas untuk bersinar,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Mega Buku dan Hadiah MPH Bookstores di Pusat Beli-Belah Alamanda di sini hari ini.
Selain menawarkan diskaun menarik, pesta jualan buku itu turut melancarkan inisiatif ‘Drop Everything and Read’ (D.E.A.R) bertujuan memupuk tabiat membaca demi kesoronokan dengan menggalakkan orang ramai membahagikan masa untuk aktiviti membaca.- KOSMO! ONLINE