fbpx
Na'imah bersama barisan peguamnya ketika hadir di Mahkamah Tinggi, hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN

Na’imah berjaya rujuk lapan persoalan undang-undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Toh Puan Na’imah Abdul Khalid berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini untuk merujuk lapan persoalan undang-undang berhubung tuduhan berkaitan pengisytiharan harta.

Hakim K. Muniandy memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan balu bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin untuk membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang sebelum ini menolak permohonannya.

Hakim Muniandy ketika membaca penghakimannya berkata, permohonan semakan Na’imah, 68, bukan sesuatu yang remeh, sebaliknya mengandungi persoalan penting yang perlu diperhalusi oleh mahkamah.

Beliau berkata, ia juga bukan penyalahgunaan proses mahkamah, tetapi cabaran yang penting dalam perundangan dengan mengguna pakai prinsip undang-undang terkini.

“Isu perlembagaan yang dibangkitkan memerlukan campur tangan dan diperhalusi oleh Mahkamah Persekutuan,” kata hakim itu.

Semasa prosiding, Nai’imah diwakili peguam Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar, manakala pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How.

Pada 23 Januari 2024, Na’imah didakwa atas tuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham serta beberapa aset lain.

Na’imah didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis secara bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bawah Seksyen 36(1)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bertarikh 8 November 2023.

Notis itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang Pesuruhjaya SPRM pada 14 November tahun sama.

Harta itu membabitkan Ilham Tower Sdn. Bhd., Ilham Baru Sdn. Bhd., dua Mercedes-Benz, lapan hartanah, sebuah kediaman di Bukit Tunku, enam bangunan, lot tanah di Taman Tunku dan Bukit Tunku, Jalan Cantoment Road, Penang serta Jalan Anthinahapan, Taman Tun Dr. Ismail di sini.

Na’imah kemudian memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang membabitkan Seksyen 30(5), Seksyen 36(2) dan Seksyen 62 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 32(3)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 ke Mahkamah Tinggi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI