fbpx
Penunggang motosikal meredah jalan yang dinaiki air semasa hujan lebat di Mumbai, 18 Ogos lalu. - AFP

Mumbai lumpuh, hujan lebat jejas jutaan orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NEW DELHI – Hujan lebat di kota kewangan India, Mumbai menjejaskan kehidupan berjuta-juta orang, menenggelamkan jalan dan menyebabkan pembatalan penerbangan serta kereta api, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam.

Sebahagian besar lokasi di bandar itu masih ditenggelami air separas pinggang, dengan video menunjukkan penduduk berenang melalui jalan dinaiki air ketika sampah-sarap keluar dari pembetung tersumbat.

Pihak berkuasa kelmarin menyelamatkan 600 orang terperangkap di dalam monorel yang terlalu sesak, yang terhenti di pertengahan perjalanan. 

“Sekurang-kurangnya 23 orang dirawat kerana sesak nafas,” kata pegawai.

Hujan monsun adalah perkara biasa di negeri Maharashtra yang menempatkan Mumbai, sekitar tempoh waktu ini sepanjang tahun.

Namun, rantau tersebut mengalami hujan yang sangat lebat kali ini dengan sekurang-kurangnya 21 orang maut dalam insiden berkaitan hujan di seluruh negeri minggu ini.

Dalam masa empat hari sahaja, Mumbai telah menyaksikan 800 milimeter taburan hujan, demikian menurut Jabatan Meteorologi India. Ia jauh melebihi purata hujan yang pernah dicatatkan pada bulan Ogos.

Jabatan cuaca India mengeluarkan amaran merah untuk bandar raya itu dan daerah jirannya serta meramalkan hujan yang sangat lebat berterusan semalam. 

Kebanyakan sekolah dan kolej ditutup, manakala kira-kira 350 orang dipindahkan dari kawasan rendah di bandar itu ke tempat perlindungan sementara.

Operasi penerbangan ke dan dari lapangan terbang antarabangsa di bandar raya itu juga terjejas, dengan 50 penerbangan dilaporkan dibatalkan sejak beberapa hari lalu. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI