Ikan haruan merupakan obsesi saya yang utama, pantang diajak pasti saya akan turun memancing bersama rakan-rakan hampir di setiap hujung minggu atau cuti umum. Kadangkala, anak saya, Rizq Rayyan yang berusia 13 tahun akan mengikuti jika dia tiada kelas tambahan.
Pada saya, memancing haruan ini lagi baik daripada dia membazirkan masa dengan telefon pintar yang sangat melekakan, sekurang-kurangnya dia dapat pengalaman berharga sambil mengeluarkan peluh.
Dahulu, katak hidup menjadi umpan yang selalu saya gunakan untuk haruan. Namun zaman sudah berubah, saya telah beralih kepada penggunaan gewang seperti soft plastic, soft frog, jump frog serta gewang-gewang lain yang dapat dipersembahkan secara kalis sangkut (weedless). Hal ini kerana lokasi yang menjadi habitat haruan sememangnya padat dengan reba.
Berubah haluan
Pada awalnya, saya memancing haruan ini sekadar mengisi masa lapang sahaja kerana rentapannya ketika merembat gewang sungguh mengasyikkan. Ada haruan yang dilepaskan terus jika bersaiz kecil dan ada yang dibawa balik untuk dibela hidup kerana ikan ini dapat bertahan lama tanpa air.
Selepas beberapa ketika, ikan-ikan haruan yang saya pancing ini mendapat permintaan pula daripada kenalan yang mahukan ia untuk dijadikan makanan perubatan tradisional terutamanya buat mereka baru menjalani pembedahan, khususnya wanita selepas bersalin.
Memandangkan permintaan tersebut semakin lama semakin bertambah, saya terus menjadikan pancingan haruan ini sebagai sumber pendapatan sampingan. Maklumlah, peralatan memancing terutamanya gewang sentiasa perlu dibeli baru. Maka, hasil jualan haruan ini dapatlah juga menampung barang dapur di rumah dan belanja anak saya ke sekolahnya.
Aktiviti pancing
Kawasan pancingan saya adalah kawasan ladang sawit di sekitar Kuala Selangor. Selalunya, saya akan bergerak seawal pagi mungkin dengan menaiki motosikal. Ini kerana, jika saya menggunakan kereta, banyak lokasi tidak dapat saya sampai terutamanya di kawasan ceruk yang jauh ke dalam ladang kelapa sawit.
Perjalanan biasanya mengambil masa antara 20 hingga 30 minit sahaja untuk ke lokasi pertama.

Dari sana nanti, saya akan beransur-ansur pergi ke lokasi lain yang berpotensi sehinggalah rehat makan tengah hari.
Kemudian, pancingan akan bersambung semula sehingga lewat petang. Jika banyak hasil sudah diperolehi, maka aktiviti pancingan akan ditamatkan awal.
Saya selalunya akan meninjau terlebih dahulu keadaan permukaan air. Sebaik sahaja ada riak-riak yang menunjukkan ada haruan mengambil nafas, saya akan parkir motor dan terus membaling gewang. Ini kerana, joran saya telah siap tersedia sejak dari rumah lagi.
Teknikal
Jika ada haruan, ia biasanya akan menyergap dalam tiga kali lontaran gewang ke tempat sama.
Ini kerana, pada balingan yang pertama, ikan akan memastikan dari arah mana datangnya jatuhan gewang tersebut. Ikan akan menyangka itu makanan semula jadinya.
Pada lontaran kedua pula, haruan akan bersedia di laluan gewang tersebut. Jika sempat, ia akan terus membahamnya. Jika tidak, ia akan menunggu di tempat yang sama. Pada lontaran ketiga, ia lebih bersedia untuk menyergap gewang tersebut.
Ada kalanya, dijatuhan pertama gewang terus akan mendapat sambaran, ini menunjukkan haruan tersebut betul-betul di dalam keadaan memburu (hunting mood), dan ia merupakan rezeki saya, tanpa perlu bersusah payah mencubanya berulang kali.
Sebaik sahaja terasa haruan mengambil gewang, saya biasanya akan membiarkan ia mengemamnya dalam masa antara empat hingga lima saat sebelum menyentap joran. Ikan selalunya akan terus menyerbu ke dalam reba sebaik terasa mata kail menancap mulutnya.
Jadi, sebelum ia sempat berbuat demikian, saya harus memaksanya keluar dengan menahan joran sekuat mungkin dan terus mengarau tali laju. Sememangnya, ia satu game ‘kuat lawan kuat’. Tengok siapa yang menang, saya atau ikan.
Jikalau haruan yang saya perolehi tersebut bersaiz kecil, ia akan dilepaskan semula supaya dapat membesar untuk saya pancing di lain waktu.
Purata saiz haruan yang selalu saya perolehi adalah anggaran dari 500 gram sehingga dua kilogram lebih. Kadangkala, saya terpaksa meronda ke beberapa ladang kelapa sawit lain jika sesuatu tempat tersebut hanya dihuni oleh haruan bersaiz kecil.
Bagi saya, waktu yang paling efektif memancing haruan adalah selepas hujan. Jikalau sesuatu tempat dikunjungi pada hari tersebut telah ada pemancing lain, saya akan segera beredar ke tempat lain yang masih belum dikucah lagi airnya.
Bukan tidak percaya pada rezeki, tetapi memberi peluang kepada pemancing lain melayani tempat tersebut.
Lagi pun, masih banyak lagi lokasi-lokasi lain yang boleh saya terjah.














