DALAM meniti cabaran ekonomi semasa, peranan syarikat korporat bagi memperkukuh kesejahteraan masyarakat semakin mendapat perhatian.
McDonald’s Malaysia, sebuah syarikat 100 peratus milik orang Islam tampil sebagai contoh dengan menunaikan kewajipan zakat perniagaan secara konsisten. Tahun 2025 menyaksikan rangkaian restoran khidmat segera ini mengumumkan bayaran zakat korporat berjumlah RM2 juta.
Sejak lapan tahun lalu, jumlah keseluruhan zakat yang telah dikeluarkan oleh McDonald’s Malaysia mencecah RM14 juta. Sumbangan ini bukan sekadar memenuhi tuntutan fardu, malah menjadi wadah memperkasa golongan asnaf agar mereka turut menikmati limpahan rezeki.
Tahun ini, buat pertama kali, McDonald’s Malaysia bakal menjelajah ke semua 14 negeri, menyerahkan zakat secara langsung kepada pusat zakat negeri masing-masing. Strategi ini memperlihatkan usaha syarikat untuk mendekati masyarakat setempat dengan lebih erat.
Di McDonald’s Pandu-Lalu Putrajaya Presint 2 di sini, McDonald’s Malaysia membayar zakat berjumlah RM300,000 pada Selasa lalu kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).
Penyerahan disempurnakan oleh Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar kepada Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman, sambil disaksikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil.
Menurut Azmir, McDonald’s Malaysia telah melunaskan tanggungjawabnya membayar zakat sejak ia menjadi syarikat 100 peratus milik orang Islam pada tahun 2017.
“Istimewanya tahun ini, syarikat kami bukan sahaja membayar zakat sebagai tuntutan fardu, malah berkongsi kesyukuran ini bersama masyarakat setempat dengan membantu mereka yang memerlukan dan menyantuni pelanggan yang sentiasa menyokong kami selama ini.
“Ini adalah kerana kami ingin jadikan majlis penyerahan zakat ini sebagai usaha untuk mendekati komuniti yang memerlukan untuk kita berikan bantuan.
“Dan untuk meraikan kesyukuran atas rezeki ini, kami juga ingin menyantuni masyarakat setempat dengan hidangan percuma atas dasar kesyukuran dan terima kasih kepada masyarakat Malaysia kerana menyokong kami selama ini,” katanya.

Jiran prihatin
Majlis tersebut turut menyaksikan McDonald’s Malaysia menyumbang 100 Kotak Rezeki berisi barangan keperluan harian yang bernilai RM200 setiap satu kepada keluarga asnaf sebagai bantuan bagi meringankan beban mereka.
Bagi tujuan itu, syarikat bersama-sama PPZ-MAIWP turut menjalankan program ziarah rumah ke rumah untuk menyantuni serta menyumbangkan Kotak Rezeki kepada golongan memerlukan di sekitar Putrajaya.
Pada tahun 2019, McDonald’s Malaysia merupakan entiti perniagaan yang pertama menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada PPZ-MAIWP, yang mengiktiraf sumbangan zakat korporat mereka di negeri-negeri Wilayah Persekutuan.
Abdul Hakim berkata, di pihak PPZ-MAIWP, pihaknya amat berterima kasih kepada McDonald’s Malaysia kerana sentiasa menjadi syarikat korporat yang bertanggungjawab dalam mengeluarkan zakat perniagaan.
“Selain merupakan kewajipan bagi yang berkemampuan, sumbangan zakat ini juga membantu kami untuk mendekati lebih ramai asnaf yang memerlukan.
“Kami berharap lebih banyak usaha bersama McDonald’s Malaysia dapat dilaksanakan untuk membantu asnaf secara berpanjangan pada masa akan datang,” katanya.
Berhasrat untuk menjadi jiran yang prihatin kepada komuniti sekitar restorannya, McDonald’s Malaysia giat menjalankan lebih 10,000 aktiviti kemasyarakatan setiap tahun, yang melibatkan semua lebih 370 restorannya di seluruh negara menerusi program Komuniti @ McDonald’s.

Lebih banyak restoran baharu dan peluang pekerjaan untuk anak tempatan menjelang 2030
“Banyak lagi usaha kami untuk membantu asnaf, bukan hanya dari segi zakat.
“Kami juga ada sediakan program pendidikan vokasional untuk mengasah kemahiran anak-anak muda, terutamanya dari keluarga B40 dan asnaf, dalam pekerjaan melalui Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia yang menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia dan Diploma Kemahiran Malaysia supaya mereka boleh tingkatkan sosioekonomi dan keluar daripada kitaran kemiskinan.
“Alhamdulillah, kira-kira 70 peratus daripada perantis ini kekal setia bersama kami, ada yang menjadi Pengurus Restoran kami dan ada juga yang bekerja dengan Restoran Khidmat Segera lain. Ini bukan masalah, kami tak ikat mereka dengan kontrak sebaliknya bantu pelajaran, lepas graduasi terpulang pada mereka.
“Insha-Allah, McDonald’s Malaysia akan terus membantu komuniti di sekitar restoran, menjadi jiran yang prihatin untuk membantu mereka yang memerlukan,” tambah Azmir.
Pada masa sama, Azmir menjelaskan usaha pengembangan perniagaan McDonald’s Malaysia turut menghasilkan peluang ekonomi baharu buat masyarakat setempat.
“Perancangan jangka panjang kami adalah membuka lebih banyak restoran baharu untuk tempoh lima tahun akan datang dan harapan kami agar setiap restoran yang dibuka dapat menjana peluang pekerjaan kepada lebih ramai anak tempatan,” jelas beliau.
Langkah McDonald’s Malaysia membawa mesej penting, iaitu zakat bukan sekadar kewajipan agama, tetapi juga mekanisme memperkukuh sosioekonomi masyarakat.
Melalui sinergi antara sektor korporat dan institusi zakat, lebih ramai asnaf dapat disantuni, lebih banyak komuniti dapat dibangunkan, dan akhirnya kesejahteraan bersama dapat diperkasa. – KOSMO! ONLINE