KUALA LUMPUR – Malaysia mempunyai keupayaan untuk mengesan kehadiran ejen asing atau pengintip asing yang cuba memasuki negara bagi mendapatkan maklumat sulit demi kepentingan pihak tertentu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kegiatan itu merupakan potensi ancaman serius terhadap keselamatan negara, khususnya dalam konteks geopolitik semasa.
“Kita punya sejarah lama dan baru dalam mengesan aktiviti pengintipan. Apa yang jelas ianya satu potensi ancaman yang sangat serius terutama dalam geopolitik negara kita sekarang.
“Boleh jadi dalam ketegasan Tambun (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam isu Gaza misalnya, kuat mengkritik negara terbabit, kemudian di negara kita ada sejumlah NGO (badan bukan kerajaan) yang aktif memperjuang isu itu, oleh itu negara kita boleh jadi sasaran bagi Israel umpamanya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) mengenai sejauh mana ancaman ejen asing memberi kesan terhadap keselamatan dan kedaulatan negara.
Saifuddin menjelaskan, kemasukan ejen asing boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dengan modus operandi yang sangat sulit bagi mengelakkan dikesan.
“Kalau kita boleh tahu (berapa ramai berada dalam negara) mudah kerja kita, yang kita tahu dia ada duta, pesuruhjaya tinggi, kakitangan, kakitangan ambilan tempatan. Itu struktur (diplomat asing) dalam sebuah negara.
“Apakah kita tahu kehadiran ejen pengintip ini? kita tak tahu. (Sebab) modus operandi pengintipan sifatnya sangat rahsia dan sulit,” katanya. – KOSMO! ONLINE