fbpx
Khaled Nordin dan Marles mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Malaysia-Australia (HLC) Ke-5 di Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON

Malaysia, Australia bimbang tuntutan berlebihan Laut China Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Australia menyatakan kebimbangan serius terhadap perkembangan di Laut China Selatan yang menjejaskan keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau.

Kedua-dua negara bimbang terhadap tindakan berbahaya dan tidak profesional di laut serta udara dan tuntutan maritim berlebihan yang tidak selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Kebimbangan itu dinyatakan pada Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Malaysia-Australia (HLC) Ke-5 dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Pertahanan kedua-dua negara di Kuala Lumpur hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles.

“Mereka (Menteri Pertahanan kedua-dua negara) menekankan kepentingan kebebasan pelayaran dan penerbangan konsisten dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.

“Mereka menegaskan bahawa semua tuntutan maritim mesti selaras dengan UNCLOS. Mereka turut menekankan keperluan semua negara menyelesaikan pertikaian secara aman,” kata kenyataan bersama sempena mesyuarat tersebut hari ini.

Mohamed Khaled dan Marles semasa mempengerusikan mesyuarat itu turut menegaskan komitmen Malaysia dan Australia untuk terus mempromosikan rantau Indo-Pasifik yang terbuka, stabil, inklusif dan telus.

Kedua-dua mereka menegaskan rantau Indo-Pasifik yang stabil adalah berteraskan penghormatan kepada kedaulatan serta pematuhan terhadap peraturan dan norma yang dipersetujui.

Mereka turut menegaskan kepentingan komunikasi, dialog dan langkah praktikal bagi mengurangkan risiko salah faham dan salah tafsir serta mencegah pertikaian daripada meningkat menjadi konflik.

“Para menteri menegaskan kembali komitmen mereka untuk memperkukuh keamanan dan kestabilan serantau melalui kerjasama berterusan dalam menangani cabaran keselamatan bersama,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Menteri Pertahanan kedua-dua negara bersetuju untuk terus memperkukuh Operasi Gateway bagi memenuhi keperluan semasa, meningkatkan kebolehoperasian bersama serta menyokong keselamatan Malaysia dan Australia dalam persekitaran keselamatan serantau yang pesat berubah.

Dalam pada itu, Malaysia dan Australia turut mengesahkan komitmen untuk melaksanakan Pengaturan Keselamatan Maklumat Malaysia-Australia.

“Para menteri sekali lagi menegaskan komitmen kepada Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) United Kingdom, Australia, New Zealand, Malaysia dan Singapura yang kekal sebagai salah satu tonggak penting keselamatan serantau,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI