KUALA KANGSAR – Seorang lelaki maut selepas kereta jenis Proton Saga yang dipandu terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas di Kampung Jamuan, di sini malam tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.08 malam dengan anggotaBalai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar tiba di lokasi sembilan minit kemudian.
“Nahas membabitkan sebuah bas dan kereta Proton Saga. Seorang mangsa tersepit dalam kereta, manakala pihak Kementerian Kesihatan memaklumkan tiga penumpang bas cedera ringan. Mereka kemudian dibawa ke hospital berhampiran,” katanya di sini hari ini.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Chuah Wei Chong, 35.
Sayani berkata, mangsa yang tersepit dibawa keluar dengan menggunakan ‘stretcher’ dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh kakitangan KKM.
“Mayatnya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya yang memberitahu pemandu bas tidak mengalami kecederaan. – KOSMO! ONLINE