PETALING JAYA – LBS Bina Group Berhad (LBS) merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) sebanyak RM27.1 juta bagi suku tahun kedua berakhir 30 Jun 2025, manakala hasil berjumlah RM309.8 juta.
Pencapaian itu didorong oleh beberapa projek yang telah siap atau hampir siap tahun lalu, dengan pembangunan perbandaran Kumpulan dijangka terus memberikan sumbangan yang kukuh pada masa hadapan.
Bagi prospek akan datang, prestasi jualan LBS kekal kukuh dengan jumlah jualan hartanah dan tempahan masing-masing sebanyak RM690.2 juta dan RM401.11 juta setakat 19 Ogos 2025.
Lembah Klang terus menjadi pemacu utama pertumbuhan, didorong oleh perbandaran utama LBS Alam Perdana.
Dalam jangka sederhana hingga panjang, prestasi LBS dijangka tambah menyerlah melalui Perjanjian Hak Pembangunan yang dimeterai bersama Kwasa Land Sdn. Bhd. dan anak-anak syarikatnya bagi pembangunan tanah seluas 77.8 hektar di Kwasa Damansara.
Dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) dianggarkan berjumlah RM8.3 bilion, pembangunan kediaman premium itu bakal dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh 14 tahun.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, dalam fasa peralihan, pihaknya bersedia untuk gelombang pelancaran seterusnya di bawah Strategi 8 x 8, seiring dengan pembangunan transformastif Perbandaran Kwasa Damansara.
“Inisiatif ini turut disokong oleh bank tanah seluas 1,530 hektar, menjadi pemacu utama perkembangan Kumpulan dan bakal membentuk saluran pembangunan yang mampan bagi menyokong pertumbuhan dalam jangka sederhana hingga panjang,” katanya dalam kenyataan. – KOSMO! ONLINE