fbpx
Ibu bapa Allahyarham Muhammad Amir. FOTO: AFIQ RAZALI

Keluarga mohon kubur Palapes Muhammad Amir digali semula, inkues

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LANGAT – Keluarga pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang maut ketika menjalani latihan pada tahun lalu, memohon kubur Allahyarham Muhammad Amir Rusyaidi Muhamad Zaidi digali semula.

Peguam mewakili keluarga, Tun Laila Tun Rafeee berkata, permohonan itu tersebut merupakan kehendak anak guamnya bagi membolehkan bedah siasat dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematian Muhammad Amir, 26.

Katanya, anak guam juga memohon agar kertas siasatan dibuka semula selepas pihak pendakwaan sebelum ini memutuskan tiada unsur jenayah dalam kes tersebut.

“Anak guam kami percaya bahawa bedah siasat sepatutnya dilakukan sejak awal bagi membantu siasatan dan bagi menentukan punca kematian Muhammad Amir.

“Selaras dengan kehendak anak guam kami, permohonan akan difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dalam masa terdekat untuk menggali semula kubur Allahyarham bagi bedah siasat dilakukan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau memberitahu, pihaknya juga akan memohon prosiding inkues dijalankan bagi menentukan punca kematian Muhammad Amir secara menyeluruh seperti kes Syamsul Haris Shamsudin dan Zara Qairina Mahathir.

Tegasnya, anak guamnya tidak berniat untuk menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya hanya mahu mencari kebenaran.

“Tambahan pula, pihak kami tidak mahu tragedi ini berulang kepada mana-mana pelatih,” jelasnya.

Kata beliau, permohonan itu juga selaras dengan laporan ketiga dibuat pihak keluarga pada 10 Julai lalu selepas laporan pertama dan kedua pada 15 dan 22 November tahun lalu.

“Pada setiap masa material, anak guam kami tidak dimaklumkan dengan status siasatan dan hanya mengetahui kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kes tidak diteruskan,” ujarnya.

Sebelum ini, seorang pelatih Palapes sebuah universiti maut pada 13 November lalu selepas bapa mangsa mendakwa anaknya didera secara fizikal termasuk dipijak dada selain dipaksa melakukan pelbagai aksi termasuk seperti kuda dan ditunggang oleh jurulatih Palapes.

Polis kemudian mengesahkan kematian Muhammad Amir Rusyaidi Muhammad Zaidi yang meninggal dunia pada 13 November lalu akibat strok haba dan kegagalan fungsi pelbagai organ.

Mahasiswa itu meninggal dunia selepas tiga hari menerima rawatan sejak dimasukkan ke hospital pada 10 November lalu.

Polis pada 3 Januari lalu memaklumkan tiada unsur jenayah kes tersebut yang diputuskan pihak pendakwaan selepas meneliti kertas siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI